
IBRAHIM Ali menyampaikan Sijil
Pelantikan Jawatankuasa Perkasa Negeri Terengganu kepada salah seorang
penerima, Mohd. Zalmiri Azhar Mohd. Nor sambil diperhatikan Tengku
Putera Tengku Awang (kanan) di Kuala Terengganu, semalam. -
MINGGUAN/SHAIFUDIN MOHD. NOR
*****
KUALA TERENGGANU 10 Nov. - Pertubuhan Pribumi
Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini mencabar Ketua Pembangkang, Datuk
Seri Anwar Ibrahim dan anaknya, Nurul Izzah supaya turut menyaman portal
propembangkang, Malaysiakini dan ahli Majlis Peguam, Siti Zabedah
Kassim berikutan kenyataan kontroversi Nurul Izzah baru-baru ini.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, tidak adil jika mereka mahu menyaman Utusan Malaysia sahaja kerana akhbar itu hanya menyiarkan kenyataan yang telah dibuat di laman portal berkenaan.
"Kita juga tahu bahawa semalam Anwar Ibrahim telah mengadakan ceramah
di sini (Kuala Terengganu) mengatakan anaknya itu telah dibohong dan
difitnah ekoran kenyataan kontroversi itu.
"Sebenarnya, Anwar ini semua benda dia tak nak mengaku. Jadi, saya cabar Anwar dan anaknya supaya turut menyaman Malaysiakini dan Siti Zabedah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa menghadiri
Mesyuarat Agung Perkasa Negeri Terengganu kali ke-2 di Dewan Tuanku
Abdul Rahman, di sini hari ini.
Mesyuarat yang dihadiri oleh kira-kira 1,000 ahli Perkasa negeri itu
dirasmikan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera
Tengku Awang.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyokong penuh hasrat
Naib Presiden pertubuhan itu, Datuk Zulkifli Noordin yang mahu mengetuai
barisan peguam kanan sekiranya Utusan Malaysia disaman oleh Anwar dan Nurul Izzah.
Jelasnya, Perkasa sendiri yang meminta Zulkifli yang juga seorang
peguam dan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu untuk berbuat demikian.
"Kita bela Utusan sebab Utusan hanya menyiarkan berita dalam Malaysiakini (portal propembangkang). Maknanya, kalau Utusan tak siar, dia tak bising. Bila dah siar, orang tahu baru dia bising.
"Benda ni (rakaman kenyataan Nurul Izzah) dah jelas. Jadi, tak
perlulah nak hantar pita rakamannya ke forensik di Korea atau Amerika
untuk dianalisis. Jika terbukti benar sekalipun (selepas dianalisis),
mereka (pembangkang) pasti tidak akan menerima," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan