JIKA berdasarkan fakta saintifik, projek Lynas Advanced Material
Plant (LAMP) di Gebeng, Pahang yang disahkan tidak melanggar mana-mana
peraturan di dalam mahupun di luar negara oleh enam entiti bebas sebelum
ini, sepatutnya telah lama memulakan operasinya.
Projek itu telah menarik ramai pembeli dan juga rakan niaga termasuk
satu dari Jerman yang menjanjikan pelaburan lebih RM1.5 bilion untuk
menguruskan sebuah kilang yang akan memerlukan sekitar 1,200 pekerja.
Sementara itu, syarikat-syarikat pembekal telah membina kilang mereka
lebih dekat dengan tapak Lynas antaranya dua syarikat pembekal asid
yang telah melaburkan RM300 juta dan menggaji sekitar 100 kakitangan.
Dengan hasil bumi, minyak dan sumber lain yang semakin berkurangan,
Malaysia sememangnya perlu meneroka ke dalam sektor ekonomi baru.
Industri nadir bumi boleh menjadi sektor pembangunan baru negara yang
mampu melonjakkan Malaysia ke arah status negara berpendapatan tinggi
menjelang 2020 memandangkan permintaan untuk bahan tersebut semakin
meningkat saban hari.
Kehadiran loji LAMP milik Lynas di Pahang juga akan membentuk sebuah
hab untuk aktiviti hiliran nadir bumi seperti televisyen, skrin
komputer, telefon bimbit hinggalah kepada lampu yang menjimatkan tenaga,
mesin imbasan magnetik MRI dan juga komponen kenderaan bernilai lebih
AS$10 trilion (RM30.66 trilion).
Selepas memulakan operasinya, loji nadir bumi di Gebeng dijangka
mampu memproses 22,000 tan nadir bumi setahun iaitu bersamaan satu
perlima permintaan global seterusnya menjana pendapatan tahunan sebanyak
RM4 bilion.
Pakar runding Dudley Kingsnorth of Industrial Minerals Co of
Australia (IMCOA) menjangkakan permintaan untuk bahan nadir bumi akan
mencecah 160,000 tan menjelang 2016 berbanding 105,000 tan pada 2011.
Sehingga kini, para pengeluar dari China telah memonopoli industri
tersebut tetapi menjelang 2016, dijangkakan sekitar 60,000 tan bekalan
nadir bumi dunia akan diperolehi daripada pengeluar di luar China
terutamanya lombong Lynas di Barat Australia dan juga daripada MolyCorp
di California, Amerika Syarikat.
Dengan nilai RM2.5 bilion, projek LAMP adalah pelaburan terbesar
Australia di negara ini. Seperti mana kesan hab Petronas di Kertih, LAMP
di Gebeng akan membentuk sebuah pusat pembangunan untuk kawasan
sekitarnya.
Projek LAMP juga bakal memberi nafas baru kepada pembuat komponen
kenderaan di Taman Automotif Pekan serta pengeluar komponen elektronik
lain dan dijangka akan membawa masuk bersamanya pelbagai industri
teknologi tinggi lain ke negara ini dalam jangka panjang.
Bagaimanapun, sekali lagi politik nampaknya telah mengaburi semua
fakta dan menghalang semua usaha pembangunan yang diusahakan demi
kesejahteraan rakyat.
Sesetengah parti dan ahli politik didakwa telah menakut-nakutkan
sekumpulan penduduk setempat agar berterusan menentang operasi kilang
tersebut sehinggakan permulaan operasinya terpaksa ditangguhkan sebelum
ini.
Melupakan sepenuhnya fakta saintifik sedia ada yang telah disahkan
oleh enam pihak bebas iaitu Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB),
Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), panel pakar akademik,
jawatankuasa bebas, pakar Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jawatankuasa Khas
Parlimen (PSC), projek nadir bumi itu tetap digambarkan tidak selamat
kepada seluruh rakyat Malaysia.
Akibat wayang politik yang cuba mengatasi fakta sains, Malaysia
mungkin bakal kerugian besar kerana tindakan itu akan menjejaskan
pelaburan langsung asing (FDI) dan keyakinan pihak luar menjalankan
perniagaan di negara ini.
Seorang Ahli Parlimen pada 19 Jun lalu ada menyebut di Dewan Rakyat
bagaimana kebenaran dan fakta sains berterusan cuba 'ditewaskan' melalui
permainan wayang politik khususnya dalam kes loji Lynas di Gebeng.
Namun, bagai meludah ke langit, permainan politik golongan beragenda
peribadi itu akhirnya memakan diri apabila salah seorang daripada ahli
pasukan mereka sendiri yang juga seorang pakar nuklear, bersetuju bahawa
kilang nadir bumi itu selamat.
Dengan pelbagai pihak bebas dari dalam dan luar negara menyokong
operasi Lynas di Malaysia berdasarkan fakta-fakta saintifik, mengapa
masih ada yang melayan wayang politik dan bangkangan membuta tuli
golongan penghalang pembangunan negara itu?
Tiba masanya untuk rakyat berfikir semula, Malaysia mungkin kerugian
teruk dalam sebuah pelaburan besar jika potensi industri nadir bumi
tidak digarap sepenuhnya akibat ditenggelami permainan politik.
Oleh itu, orang ramai jangan terlalu mudah ditipu segelintir
'pengacau' dan guna akal masing-masing dalam menilai berdasarkan fakta
dan bukti sahih yang dikemukakan pihak yang benar-benar pakar dalam
bidang tersebut.
Jangan dilayan hujah tin kosong yang menyembur air liur semata-mata
dan memutar fakta demi mengelirukan dan menakutkan rakyat agar menentang
sesuatu usaha kerajaan, seterusnya membentuk persepsi negatif terhadap
pemerintah negara.
Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor
Negara, Profesor Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak melihat trend itu
berlaku berikutan politiking di Malaysia telah mencapai satu tahap yang
tidak lagi memikirkan kesejahteraan rakyat mahupun ekonomi negara.
Menurut beliau, permainan politik nampaknya tetap diteruskan pihak
tertentu walaupun selepas sesuatu projek itu telah dibuktikan selamat
dan tiada masalah.
"Senario sebegini umpama mengambil langkah ke belakang yang hanya
akan menyebabkan negara menghadapi banyak cabaran dan kerugian.
"Kita sepatutnya mara ke hadapan kerana amat rugi jika sesuatu projek
rakyat terbatal akibat politiking. Dalam jangka pendek, perbuatan ini
membuang banyak masa sementara jangka panjang meningkatkan kos dan
membazir wang rakyat," tegasnya.
Bagi beliau, kecuali ada keraguan timbul melalui pendedahan fakta
saintifik, sesuatu projek untuk kesejahteraan rakyat tidak wajar
ditangguh, dilengah mahupun dibatalkan kerana akhirnya rakyat juga yang
rugi.
Tambahnya, kerugian akibat pembatalan sesuatu projek semata-mata
kerana politik bukan sahaja menyebabkan perbelanjaan yang telah
dikeluarkan hangus begitu sahaja malahan pampasan mungkin perlu dibayar
dan semuanya itu menggunakan duit rakyat.
Beliau menegaskan, jika sesuatu projek itu telah terbukti selamat dan
tiada masalah terutama sekali jika disahkan pakar bebas melalui
hujah-hujah saintifik, tidak perlu dilayan lagi hujah kosong yang
menggunakan sentimen, emosi, kepentingan politik dan menolak fakta
sains.
"Kalau didengar juga hujah tidak saintifik itu, bagaimana kita mahu
maju ke depan? Saya kesal senario menolak hujah saintifik masih
berterusan dan diganti pula dengan hujah retorik dan agenda populis
untuk menarik sokongan.
"Terlalu banyak politiking akan membawa rakyat undur ke belakang dan
dunia akan melihat negara kita tidak stabil terutamanya apabila
berita-berita tidak tepat disensasikan. Akhirnya, keyakinan masyarakat
antarabangsa terhadap Malaysia akan jatuh," ujarnya.
Mohamed Mustafa berharap pihak yang menggunakan sentimen politik
untuk keuntungan peribadi itu dapat menilai kembali kesannya terhadap
rakyat dan negara serta bertanggungjawab di atas perbuatan mereka.
"Kemelut politik seperti tiada kesudahan sedangkan kita tiada masalah
besar seperti pemerintahan diktator, penindasan dan lain-lain yang
dihadapi negara-negara lain.
"Memang kita ada kelemahan-kelemahan kecil yang boleh diperbaiki
tetapi tidak perlulah sehingga mahu menggambarkan Malaysia sudah di
ambang kehancuran," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan