TERNYATA! Penduduk Kuantan tidaklah bodoh hanya kerana tidak
bersama-sama puak-puak anti-Lynas dalam menyuarakan penentangan terhadap
projek pemprosesan logam tanah jarang Lynas Advanced Materials Plant
(LAMP) di Gebeng, dekat sini.
Ini adalah berasaskan fakta-fakta sahih yang sengaja tidak mahu
diambil peduli oleh puak-puak tersebut. Keputusan Mahkamah Tinggi
Kuantan semalam (8 November) yang menolak injunksi oleh puak-puak
berkenaan ke atas Lesen Operasi Sementara (TOL) Lynas.
Dan, mahkamah yang sama yang dihakimi oleh Datuk Mariana Yahya, yang
turut memutuskan bahawa LAMP milik Lynas Malaysia Sdn Bhd boleh
memulakan operasinya bermula hari itu juga; telah menguatkannya lagi.
Puak-puak anti-Lynas yang 'minoriti lantang' khususnya kumpulan yang
menamakan diri sebagai Save Malaysia Stop Lynas (SMSL), ada
mempersoalkan tentang kebijaksanaan penduduk Kuantan berkaitan dengan
projek bernilai RM2,300 juta ini.
Ini dilakukan menerusi ajakan mereka agar penduduk Kuantan turun
beramai-ramai pada Rabu, 10 Oktober lepas di Kompleks Mahkamah Kuantan
untuk memperlihatkan tekad mereka menentang Lynas; tidak mendapat
sambutan. Yang hadir dikatakan, tidak sampai pun 200 orang.
Mahkamah Tinggi Kuantan pada 10 Oktober itu, dijadual membuat
keputusan mengenai permohonan puak-puak tersebut menarik balik
pengeluaran Lesen Operasi Sementara (TOL) oleh Lembaga Pelesenan Tenaga
Atom (AELB) kepada Lynas Malaysia Sdn Bhd bagi memulakan pengeluaran di
LAMP, tetapi kemudian ditangguhkan ke 8 November.
Oleh kerana tertangguh, sekali lagi ajakan itu dilakukan termasuklah
menerusi iklan dalam tiga akhbar 'vernakular' Cina tempatan edisi timur
yang SMSL tempah dan disiarkan sejak 3 November.
Lalu diharap kehadiran penduduk Kuantan yang ramai kononnya untuk
membuktikan kepada dunia menerusi media tentang kuatnya azam penduduk di
sini untuk mempertahankan bumi mereka daripada kemusnahan.
Kehadiran yang diharap-harapkan tetap juga mengecewakan. Cuma sekitar
150 orang dan pula kali ini, golongan yang menyokong projek Lynas yang
menganggap diri mereka mewakili 'majoriti seunyap' pula yang turut
hadir, malah lebih ramai iaitu kira-kira 300 orang.
Iklan berbahasa Mandarin tempahan SMSL itu mempamerkan ayat-ayat yang
serupa dalam ketiga-tiga akhbar berkenaan, menyoalkan tentang
kebijaksanaan/kebodohan penduduk dengan tajuk besar; 'Adakah kamu
bodoh?' disusuli empat (4) persoalan antaranya ialah;
'Apabila Kerajaan China tidak berani untuk menerokai tanah jarang
tetapi beberapa pihak berkuasa di Malaysia mengatakan bahawa sisa dari
kilang tanah jarang Lynas boleh mudah dlupuskan. Kalau kamu percaya,
maka kamu adalah bodoh!!'
'Apabila New York Times menyiarkan artikel mengenai Lynas,
baharu itu rakyat Malaysia sedar bahawa sebetulnya akan ada kilang
pemprosesan logam tanah jarang terbesar di dunia di Gebeng. Kalau kamu
percaya bahawa kementerian berkaitan melaksanakan tugasnya secara telus,
maka kamu adalah bodoh!!'
Dan, ayat-ayat akhir pada iklan berkenaan menyebut; 'Kami merayu
kepada seluruh penduduk yang tidak berpuas hati, marah dan mempunyai
tanggungjawab untuk melindungi nyawa keluarga mereka, supaya
mengorbankan dua (2) jam daripada masa mereka, dari 8 pagi hingga 10
pagi untuk berada di Mahkamah Tinggi Kuantan.
'Ini ialah untuk membolehkan media tempatan dan antarabangsa
menyaksikan tekad penduduk Kuantan yang tidak membiarkan tanahair yang
cantik mereka ini dimusnahkan oleh Lynas'.
Gagalnya perhimpunan puak-puak anti-Lynas pada hari 10 Oktober dan
semalam (8 Nvember) bukan setakat kerana kecilnya bilangan penduduk
Kuantan yang hadir malah, media tempatan khususnya akhbar-akhbar
'vernakular' Cina dan media antarabangsa tiada satu pun kelihatan.
Dengan gagalnya perhimpunan yang diharap-harapkan besar itu, bukankah
bermakna ajakan mereka tidak disahut maka bodohlah penduduk Kuantan
yang berjumlah kira-kira 500,000 orang berbanding mereka yang 'bijak',
yang tidak sampai pun 200 orang?
Bahawa mereka sanggup menggunakan perkataan bodoh dalam iklan
berkenaan yang turut dicetak dalam bentuk 'flyers' bagi edaran umum,
jelas menunjukkan sikap dwi-standard - mereka boleh menggunakannya
tetapi dianggap biadap jika pihak lain melafazkannnya sungguhpun secara
tidak sengaja atau 'slip-of-the-tongue' sekalipun.
Kepada persoalan-persoalan yang ditimbulkan, bukanlah payah untuk
menjawabnya. Malah, telah pun diberikan penjelasan mengenainya oleh
kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
(MITI) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang mana
AELB di bawahnya; mahupun syarikat yang terlibat, yakni Lynas Malaysia
Sdn Bhd.
"Lynas datang ke Malaysia dengan satu matlamat iaitu melabur dalam
industri logam tanah jarang. Kami (Lynas) tidak pilih untuk melabur di
Australia ataupun China (yang Lynas telahpun memperolehi kelulusan untuk
melabur di kedua-dua negara itu) pada asasnya kerana faktor ekonomi,"
kata seorang pemimpin kanan syarikat itu berulang-ulang kali.
Faktor ekonomi yang dimaksudkan termasuklah ekoran berdaya-saingnya
kos sumber manusia mahupun bahan-bahan mentah sokongan seperti air dan
elektrik yang diperlukan, yang terdapat dengan banyak dan mudahnya di
negara ini, bagi menjayakan pelaburan Lynas ini.
Ini sekali gus menjawab persoalan SMSL tentang ketidakrelaan negara
China menerokai industri bahan mentah logam tanah jarang tersebut. Dan
pula, bukanlah rahsia betapa negara China ialah pengeluar terbesar
dengan memonopoli 97 peratus daripada keseluruhan pasaran logam tanah
jarang dunia.
Bodohkah penduduk Kuantan jika mereka percaya kepada penerangan dan
penjelasan yang telah pun mereka terima sebagai hakikat nyata, mengenai
faktor utama kehadiran Lynas di negara ini?
Begitu juga dengan persoalan tentang kononnya ketidaktelusan kerajaan
dalam menerima kemasukan pelaburan Lynas ini. Rakyat dikatakan hanya
mengetahui mengenainya setelah akhbar New York Times melaporkannya pada 8 Mac 2011.
Sedangkan, umum juga telah mengetahui betapa sejak Julai 2009 lagi,
wakil-wakil rakyat dari kedua-dua parti pemerintah dan pembangkang,
telah pun sama-sama diberikan taklimat mengenai projek pemprosesan logam
tanah jarang ini.
Jadi kini, siapakah yang bodoh sebenarnya?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan