KUALA LUMPUR 5 Nov. - Umat Islam di negara ini perlu buka mata dan
menyedari bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) memperjuangkan fahaman
pluralisme agama iaitu satu fahaman yang jelas bertentangan dengan
akidah Islam kerana mengiktiraf kesamarataan semua agama.
Aktivis Pas, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin yang kecewa dengan
kenyataan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar kelmarin bahawa orang
Melayu perlu diberi kebebasan memilih agama mereka, mahu Dewan Ulama Pas
menyatakan pendirian tegas serta memberi nasihat kepada Ahli Parlimen
Lembah Pantai berkenaan.
Beliau yang juga bekas Ketua Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang secara
peribadi turut melahirkan rasa bimbang sekiranya PKR dan parti-parti
sekutunya diberi mandat memerintah negara ini.
Saya sebenarnya tertanya-tanya bagaimana tergamak Nurul Izzah
sebagai seorang Islam mengeluarkan kata-kata seperti ini. Tidakkah
beliau terfikir kata-katanya bertentangan dengan akidah Islam dan
Perlembagaan, katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Nurul Izzah dalam berita yang disiarkan di dalam portal berita
propembangkang, Malaysiakini semalam menegaskan bahawa rakyat tidak
seharusnya dipaksa mengamalkan agama tertentu dan perkara itu juga perlu
terpakai kepada orang Melayu.
Kenyataan itu disuarakan Nurul Izzah yang bertindak sebagai ahli
panel ketika menjawab soalan sama ada orang Melayu perlu diberikan
kebebasan beragama seperti orang bukan Melayu dalam satu forum bertajuk
Negara Islam: Versi Mana, Siapa Bertanggungjawab? anjuran Gereja Full
Gospel Tabernacle di Subang Jaya kelmarin.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20121106/po_09/Rakyat-diminta-buka-mata#ixzz2BamFbE00
© Utusan Melayu (M) Bhd | 8/11/12
© Utusan Melayu (M) Bhd | 8/11/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan