
Oh Tong Keong menunjukkan salinan
sijil pembayaran wang pendahuluan bagi membeli tapak tanah di Taman
Manggis, (kiri) dan salinan sijil penjualan tanah berkenaan kepada KLIDC
Sdn. Bhd. pada sidang akhbar di Pulau Pinang, semalam. - BERNAMA
*****
PULAU PINANG 8 Nov. - Tindakan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang terus
berdolak-dalik dan belum menyediakan perjanjian jual beli tapak projek
perumahan rakyat (PPR) Taman Manggis di sini kepada Pemuda Barisan
Nasional (BN) negeri kini terjawab.
Pemuda BN negeri yang melakukan proses carian di Suruhanjaya Syarikat
Malaysia (SSM) dua hari lalu terkejut apabila mendapati tanah tersebut
telah dipajakkan oleh Kuala Lumpur International Dental Centre Sdn. Bhd.
(KLIDC) kepada sebuah bank pada 21 November tahun lalu.
Ketuanya, Oh Tong Keong berkata, ini menunjukkan tanah
berkenaan kini milik KLIDC tetapi pada masa sama dijual Kerajaan DAP
Pulau Pinang kepada Pemuda BN negeri yang telah membayar wang
pendahuluan sebanyak RM222,073.
"Dengan dokumen SSM ini, kami dapati kerajaan negeri sengaja
melanggar undang-undang. Guan Eng dilihat telah berbohong dan tidak
jujur.
"Ini menunjukkan tanah tersebut telah dijual kepada dua pihak. Kami
memberi tempoh 24 jam kepada Guan Eng untuk memberi penjelasan," katanya
dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Berdasarkan dokumen SSM itu, tapak PPR berkenaan telah dipajakkan
oleh KLIDC kepada bank dengan nilai RM11.5 juta pada 21 November tahun
lalu.
Tanah tersebut sepatutnya dibangunkan PPR fasa kedua namun dijual
kerajaan negeri kepada KLIDC bagi projek pembinaan hotel 19 tingkat,
enam tingkat hospital persendirian dan lima tingkat tempat letak kereta.
Pada 4 September lalu, Pemuda BN negeri menerima surat tawaran
daripada Setiausaha Politik Ketua Menteri, Ng Wei Aik untuk membeli
tanah seluas 0.45 hektar di Jalan Zainal Abidin itu dengan harga jualan
RM450 sekaki persegi.
Tawaran tersebut kemudiannya disahut Pemuda BN negeri bagi
menyelamatkannya daripada jatuh ke tangan pemaju swasta dengan bayaran
wang pendahuluan satu peratus iaitu sebanyak RM224,073 secara tunai pada
3 Oktober lalu.
Namun, Guan Eng memberi tempoh 30 hari untuk menyelesaikan bayaran
baki penuh yang dianggap Pemuda BN negeri sebagai syarat tidak
munasabah.
Wang sebanyak RM22,183,227 untuk baki bayaran pembelian tanah
berkenaan akhirnya berjaya juga dikumpulkan dalam tempoh ditetapkan.
Bagaimanapun, wang dalam bentuk draf bank itu tidak dapat diserahkan
sehingga hari ini berikutan kerajaan negeri masih gagal menyediakan
syarat-syarat pembelian.
Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda BN negeri, H'ng Khoon Leng
menjelaskan, beliau tidak hairan kenapa Guan Eng memberikan
syarat-syarat yang tidak munasabah kerana kerajaan negeri memang tidak
mahu menjual kepada pihaknya berikutan tanah tersebut kini milik KLIDC.
Bagaimanapun, beliau menambah, sistem e-Tanah menunjukkan tiada rekod diperoleh mengenai tapak PPR tersebut.
"Malah kami pernah menulis surat kepada Pejabat Tanah dan maklum
balas yang diberikan bahawa tanah itu masih milik kerajaan negeri.
"Mungkin status pemilikan tanah telah dikeluarkan tetapi ia tidak
dapat ditunjukkan dalam sistem SSM kerana 'dikunci' orang tertentu,"
ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pegawai-pegawai kerajaan negeri
yang terlibat tetapi terpaksa berdiam diri kerana takut supaya tampil ke
depan kerana ia dianggap konspirasi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan