27 Disember 2012

Amanat Haji Hadi : Kisah lama kesannya masih ada

SEORANG bekas mufti mengungkit bahawa Amanat Haji Hadi adalah cerita lama. Seorang kolumnis di sebuah akhbar tabloid juga menyatakan kehairanannya mengapa amanat yang dicetuskan lebih 30 tahun lalu diungkit kembali.
Harus diinsafi bahawa Amanat Haji Hadi itu dianggap sebagai "fatwa" oleh pengikut- pengikut Pas. Ia membawa pecah-belah yang parah dalam kalangan umat Islam sehingga ke hari ini.
Pertama, amanat itu tidak selari dengan syara'. Ia adalah pandangan politik radikal Haji Hadi Awang kerana rasa kebencian yang terlalu tinggi terhadap UMNO dan sebagai senjata memenangi pengaruh. Haji Hadi pernah menjadi pendakwah dalam Angkatan Belia Islam (ABIM), dan ABIM sebagai sebuah gerakan Islam tidak pernah mengkafirkan UMNO.
Kedua, kesan amanat itu dirasakan sehingga kini. Apabila Pas masih bermain- main dengan istilah taghut (perosak), kafir, firaun, pangkah bulan masuk syurga ia membayangkan amanat itu masih menjadi sempadan yang tajam terhadap UMNO.
Menggunakan istilah-istilah tersebut sesuka hati adalah menyalahi Islam. Islam adalah agama yang amat teliti menggunakan istilah-istilah itu apalagi terhadap orang UMNO yang beragama Islam.
Sekiranya hujah tidak menggunakan hukumah Islamiah di negara ini sebagai asas mengkafir orang UMNO, ia amat tidak menepati. Apakah orang UMNO yang masih bersyahadah kepada Allah, membayar zakat, melakukan solat, pergi Haji dan lain-lain boleh dianggap sebagai kafir?
Sejak merdeka berbagai-bagai agenda dan program Islam atau selari dengan perjuangan Islam dilaksanakan oleh kerajaan yang didukung oleh UMNO. Asas patuh-syariah dalam sistem kewangan negara sedang berkembang dengan baik.
Institusi pendidikan Islam bertaraf universiti juga berkembang subur dalam sistem pendidikan negara. Ruang untuk dakwah Islamiah berlaku di dalam masyarakat dan berkembang dalam media cetak dan elektronik terjadi tanpa sekatan.
Itu belum termasuk program membasmi kemiskinan, meningkatkan taraf hidup masyarakat, program-program yang dilaksanakan oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapiem) umpamanya adalah bermaksud untuk memperkasa umat Islam.
Di Selangor umpamanya di mana Pas berada di dalam Pakatan Rakyat, ruang untuk penjualan arak semakin bertambah, rumah urut dan pelacuran berkembang macam cendawan. Kes-kes murtad sangat membimbangkan. Pernahkah UMNO menuduh Pas dalam pakatan sebagai kafir kerana isu ini walaupun Pas berada di tahap pembuat dan pelaksana dasar.
Atas muslihat politik Pas sanggup menukar haluan perjuangan dari menubuhkan sebuah negara Islam dan pelaksanaan hudud kepada Negara Berkebajikan.
Kalau mengambil semangat Amanat Haji Hadi apa hukumnya menolak negara Islam dan hudud. UMNO masih tidak menuduh Pas sebagai kafir walaupun terang-terangan bersetuju dengan DAP dan akur dengan kenyataan Karpal Singh, "langkah mayat aku dulu" sebelum laksana negara Islam dan hudud.
Di satu pihak Pas amat toleran dengan kemahuan DAP dan kehendak Anwar Ibrahim supaya Malaysia yang bakal dibina nanti ialah negara sekular dan liberal berasaskan faham sosialis demokrat dan pluralisme.
Di satu sisi lain Pas masih terus menganggap UMNO kafir. Ia memberi kesan yang tidak baik kepada orang Islam khususnya generasi muda.
Nik Aziz dan Haji Hadi sebagai orang terdidik dalam agama tahu akan kesan cakapnya itu. Tetapi kerana ego politik tidak mungkin mereka akan menarik balik amanat dan cakap-cakap yang menghina itu.
Ironinya, tahaluf siyasinya (kerjasama politik) dengan DAP dan PKR membolehkan pula Negara Berkebajikan lahir menggantikan Negara Islam dan hukumah Islamiah. Tidakkah sikap sedemikian memperlihatkan amanat makan diri dan meludah ke langit tertepek semula ke muka sendiri?
Kebesaran Allah SWT menunjukkan betapa orang yang terlalu gelojoh berhajatkan kuasa sanggup melupakan amanat yang pernah dilontarkan kepada UMNO sekarang ini terjebak dengan kemelut amanat yang dibuatnya sendiri.
Amanat Haji Hadi mengenai negara Islam dan pelaksanaan hukum syarak ditujukan kepada UMNO dan sekarang ini semangat amanat itu sedang ditujukan kepada DAP dan PKR kerana tidak bercadang menubuhkan Negara Islam dan melaksanakan hukuman Islamiah. Inilah gambaran kebesaran Allah di mana amanat sedang memakan diri.

Tiada ulasan: