PENDANG 10 Dis. - Sekumpulan penduduk dari sekitar Kampung Huma
Besar, di sini membuat laporan polis kerana mendakwa kepimpinan Pas mahu
mengambil alih tanah wakaf Pondok Tarbiyah Awladiyah di kampung itu
untuk dijadikan pusat pengajian dan markas parti tersebut.
Laporan polis itu dibuat oleh wakil mereka, Zolkfli Deris, 50, di
Balai Polis Kubur Panjang, di sini kira-kira pukul 11.45 pagi ini bagi
menghalang kepimpinan, ahli atau penyokong Pas memonopoli institusi
pondok untuk mengembangkan ideologi politik mereka.
Zolkfli mendakwa, kepimpinan Pas hanya menggunakan alasan mahu
membina pusat pendidikan bagi mengambil alih kawasan tanah wakaf seluas
kira-kira dua hektar itu yang pernah menjadi tempat pengajian agama
berkonsepkan pondok sejak awal 50-an.
"Itu semua hanya alasan lama yang berulang. Alasan hendak buat pusat
pendidikan tapi akhirnya mereka bercadang untuk membuat markas Pas bagi
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tiang.
"Jadi kita pertahankan tanah yang telah diwakafkan oleh orang tua-tua
dahulu demi kebaikan pendidikan di sini," katanya di sini hari ini.
Selepas membuat laporan polis, kumpulan tersebut turut berhimpun
secara aman di tapak tanah wakaf berkenaan dengan memegang sepanduk
antaranya tertera tulisan 'Pas perosak Pondok Awladiyah'.
Zolkfli yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan
Kampung Persekutuan (JKKKP) Huma Besar mendakwa, dalam kalangan waris
memang tidak bersetuju tanah wakaf pondok berkenaan diambil untuk
dijadikan markas Pas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan