30 Disember 2012

Bergantung kepada sumber balak: Bukti Pas Kedah ketandusan idea

KUALA LUMPUR 27 Dis. - Kebergantungan kerajaan Pas Kedah kepada balak sebagai sumber utama dalam menjana ekonomi negeri sehingga akhirnya alam sekitar menjadi mangsa adalah bukti ketandusan idea pemimpin Pas.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, jika dalam masa sepenggal sahaja Pas sudah begitu rakus ‘membotakkan’ hutan, apa akan terjadi seandainya parti itu terus memerintah.
Sehubungan itu, beliau memberi jaminan Barisan Nasional (BN) tidak akan bergantung kepada balak dalam usaha membangunkan ekonomi negeri, sebaliknya akan memperkasa kembali sektor perindustrian yang kini dibiar suram oleh Pas Kerajaan Kedah.
Tambah beliau, sektor perindustrian bukan sahaja menawarkan peluang pekerjaan yang banyak tetapi juga merupakan pemangkin kepada lonjakan berganda ekonomi Kedah dan usaha ini sudah dibuktikan sewaktu pemerintahan BN dahulu.
“Kita tidak akan mengulangi ketandusan idea pemimpin Pas membangunkan ekonomi negeri kerana dalam kotak fikiran mereka cuma nampak balak. Kita kalau boleh tidak akan sama sekali menebang hutan di kawasan sensitif.
“Sebaliknya kita akan memberi fokus kepada perindustrian kerana Kedah sudah mempunyai platform itu di Kulim. Balak hanya mampu menjana pendapatan untuk jangka pendek," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kedegilan Kerajaan Pas Kedah yang tetap berkeras mahu meneruskan aktiviti pembangunan tanah dan pembalakan di Gunung Inas dan Pedu meskipun semua kegiatan tersebut telah diarah dihentikan serta-merta.
Arahan itu dikeluarkan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas, rentetan pendedahan secara bersiri laporan khas Utusan Malaysia mengenai kemusnahan hutan di Kedah sehingga mendatangkan risiko bencana alam.
Dalam pada itu, Mukhriz berkata, kedegilan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang tetap mahu meneruskan aktiviti pembangunan di kawasan-kawasan sensitif membuktikan betapa angkuh dan terdesaknya pemimpin Pas tersebut.
“Kalau prosedur wajib seperti EIA (Penilaian Kesan Alam Sekitar) pun mereka sanggup tolak kerana terdesak mahu mengejar keuntungan segera melalui balak, saya percaya jika dibiarkan, lebih banyak penyalahgunaan kuasa akan berlaku di Kedah," katanya.

Tiada ulasan: