13 Disember 2012

Diusir MPPP tanpa pampasan

Huan Cheng Guan (duduk, kanan) bersama Chew Eng Hoe (duduk, tengah) serta ahli keluarganya menunjukkan gambar serta dokumen rumah mereka sebelum diusir oleh MPPP semasa sidang akhbar di Georgetown, Pulau Pinang, semalam. 
*****
PULAU PINANG 11 Dis. - Seorang warga emas kesal dengan tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang yang 'mengusirnya' daripada kediamannya yang dibina di atas tanah milik Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) tanpa menerima sebarang pampasan.
Chew Eng Hoe, 71, berkata, dia yang berasa dizalimi dengan tindakan itu kini kehilangan rumah di Jalan Free School di sini yang diduduki lebih 60 tahun.
"Saya ada minta kos pindah sebanyak RM6,000 tetapi tidak dilayan malah hanya diberikan sebulan sahaja untuk berpindah ketika kejadian pada 2009. Permintaan saya supaya tempoh mengosongkan kediaman dilanjutkan juga tidak dipedulikan.
"Dalam tempoh masa tidak sampai sebulan, jentolak telah dihantar untuk merobohkan rumah saya dengan cara yang kasar," katanya pada sidang akhbar di pejabat Parti Cinta Malaysia (PCM) di sini hari.
Yang turut hadir, Naib Presiden PCM, Huan Cheng Guan.
Eng Hoe berkata, pada mulanya dia dimaklumkan tanah seluas 23,000 kaki persegi itu diambil untuk projek pembangunan rakyat tetapi baru-baru ini mendapati ada papan tanda yang mengatakan sebuah rumah banglo akan dibina di situ.
Dia yang tinggal bersama seorang anak perempuan dan tiga cucunya berkata, sepanjang tinggal di situ, dia juga membayar cukai tanah.
"Selepas itu, kami sekeluarga terpaksa menumpang di beberapa tempat sebelum berjaya mendapat rumah bernilai RM69,000 di Sungai Pinang menerusi bantuan pembantu peribadi seorang Ahli Parlimen.
"Keadaan saya cukup susah ketika itu kerana tiada duit untuk membayar deposit rumah sebanyak RM10,000 dan terpaksa bergantung kutipan derma yang dibuat," katanya.
Sementara itu, Cheng Guan menyelar sikap Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang disifatkannya sebagai tidak berhati perut dan zalim.
"Kerajaan negeri hanya memikirkan soal duit dan keuntungan sahaja apabila menjual tapak itu kepada pemaju swasta dan bukan mahu melaksanakan projek pembangunan untuk rakyat," katanya.
Tegas Cheng Guan, tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang yang bersikap pilih kasih dalam menangani isu terbabit amat dikesali.
"Sebelum ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang, Tan Cheong Heng daripada DAP telah diberi hak milik tanah di Bukit Mertajam dan kes itu hampir sama dengan Eng Hoe, tetapi dia hanya seorang rakyat biasa dan tidak berpeluang mendapat keistimewaan seperti Cheong Heng," katanya.

Tiada ulasan: