27 Disember 2012

Isu pingat: Koo Ham enggan ulas lanjut

IPOH 25 Dis. - Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham enggan mengulas lanjut mengenai isu beliau menerima darjah kebesaran membawa gelaran 'Datuk' yang didakwa melanggar polisi parti itu.
Ditanya sama ada beliau tetap mahu mengekalkan gelaran 'Datuk' atau memulangkannya semula seperti yang didesak Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Selangor semalam, Koo Ham berkata, isu itu tidak patut timbul kerana telah dijelaskan kepada media semalam.
"Saya tidak ada ulasan lanjut. Saya telah keluarkan kenyataan semalam dan apa-apa sila rujuk kenyataan itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Dalam kenyataan kepada media semalam, Koo Ham mempertahankan tindakannya menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran 'Datuk' walaupun didakwa melanggar polisi DAP yang tidak membenarkan pemimpinnya menerima gelaran ketika masih dalam politik.
Dalam kenyataan itu, beliau juga menegaskan, isu tersebut telah dibincangkan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti sebelum beliau menerima darjah kebesaran berkenaan daripada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah pada 2008.
Beliau juga meminta Pengerusi DAP, Karpal Singh yang membangkitkan perkara itu membawa isu tersebut ke CEC untuk dibincangkan semula jika Karpal bertegas dengan pendiriannya.
Selain Koo Ham, seorang lagi wakil rakyat DAP, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Datuk Teng Chang Kim dari Selangor turut ditempelak Karpal kerana menerima darjah kebesaran daripada raja-raja Melayu semasa masih dalam politik.
Tindakan Karpal itu dibidas Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya yang menyifatkan prinsip DAP tersebut seolah-olah tidak mengiktiraf kedudukan institusi raja-raja Melayu.
Sehubungan itu, beliau mencabar Koo Ham dan Chang Kim memulangkan semula darjah kebesaran yang dikurniakan kepada mereka sekiranya merasakan prinsip parti lebih tinggi berbanding penghormatan serta pengiktirafan terhadap kedudukan raja-raja Melayu di negara ini.

Tiada ulasan: