30 Disember 2012

Jangan tersalah meraikan

Mukadimah
BERAT untuk menafikan, namun inilah hakikatnya. Saban tahun umat Islam di negara ini akan berhadapan dengan konflik meraikan perayaan tertentu. Dari perayaan yang bersifat keagamaan hinggalah membawa kepada perayaan sambutan tertentu seperti Hari Ibu, Hari Kekasih mahupun sambutan tahun baharu.
Ia bagaikan isu yang tidak pernah selesai dan akan muncul sama hangatnya dengan perayaan tersebut. Lebih membara bila perayaan itu muncul dalam zon masa yang sama hingga menzahirkan konsep "kongsi raya".
Program BICARA di TV Al Hijrah baru-baru ini mengupas isu ini dengan dengan tajuk - Jangan Salah Rai. Dengan membawa DR. JUANDA JAYA, Mufti Kerajaan Negeri Perlis dan USTAZ NOR AZAMIR ALIAS, Timbalan Mufti Negeri Sembilan dan AMIN IDRIS sebagai moderator, mereka mengupas pendekatan yang wajar di negara yang berbilang agama dan bangsa ini.
SOALAN: Syeikhul Islam, Ibn Taimiyyah berkata, “Tidak halal bagi muslimin menyerupai mereka dalam sesuatu pun yang khusus dalam perayaan mereka sama ada makanan, pakaian, mandian, menyalakan api dan menuruti perkara dan ibadat yang biasa dilakukan mereka pada hari-hari biasa." Bagaimana untuk kita mendefinisikan ‘menyerupai’ sesuatu kaum dan apakah kekeliruan yang biasa berlaku d alam kalangan umat Islam hari ini dalam menyambut hari kebesaran agama lain?
Nor Azamir Alias: Dalam hadis yang diriwayatkan Abu Daud daripada Ibnu Umar, menyatakan barang siapa yang menyerupai satu kaum, maknanya mereka termasuk dalam golongan itu. Menyerupai itu dirujuk kepada sudut tindakan atau perlakuan daripada aspek akidah, syariat, akhlak dan tingkah lakunya. Jika semua itu bertentangan daripada garis panduan al- Quran, Hadis dan Sunnah maka ia tidak dibenarkan.
Dalam aspek kehidupan hari ini, kita tidak boleh lari daripada fitrah yang menyerupainya dalam konteks pembinaan kehidupan antaranya aspek keselesaan hidup, teknologi, strategi atau pendekatan tertentu yang membawa kepada kebaikan maka ia dibenarkan untuk meniru.
Dalam Islam tidak membenarkan kita mengikuti secara ritual agama lain dan pada masa sama, Islam juga tidak membenarkan kita menzalimi ataupun menyakiti orang bukan Islam, Nabi SAW menyatakan kalau kita menyakiti mereka bukan Islam yang patuh kepada pemerintah Islam, umpama seperti menyakitiku.
Bagaimana kita hendak mengimbangi dua perkara ini, kita dilarang untuk raikan perayaan agama lain pada masa sama kita disuruh untuk meraikan kemanusiaan orang daripada agama lain?
Dr. Juanda: Kita berhadapan dengan dua nas yang saling bertentangan iaitu nas yang menyatakan bahawa kita tidak boleh reda kepada kekufuran yang membawa kepada kufur. Nas yang lain pula menyatakan bahawa kita perlu menghormati dengan memberi kebebasan, memberi hak sepatutnya kepada golongan ‘zimmi’, seperti yang disebut oleh hadis Rasulullah SAW “barang siapa yang menyakiti golongan ‘zimmi’ sesungguhnya dia sudah menyakiti aku".
Dalam konteks menyambut perayaan keagamaan yang bukan agama Islam, perkara utama yang mesti dijaga oleh umat Islam ialah kemurniaan akidah. Dalam erti kata lain, meraikan apa sahaja perayaan keagamaan dengan reda kepada kekufuran ini dilarang dalam Islam. Dalam kehidupan kita yang pelbagai bangsa dan pelbagai agama, kita mesti tahu membezakan yang mana satu agama dan yang mana satu budaya.
Apabila kita menggunakan istilah “kongsi raya", pemimpin mempunyai niat tersendiri khususnya dalam menimbulkan kesefahaman dalam pelbagai bangsa dan agama. Namun demikian, ada yang tersalah langkah menggunakan kongsi raya ini untuk menyamakan semua agama. Ini bagaimana?
Nor Azamir: Perkataan kongsi itu sendiri memberikan implikasi tertentu kepada persepsi masyarakat dalam memahami perkataan kongsi tersebut. Kerajaan “menyatukan" sambutan Hari Raya dengan perayaan lain adalah kerana ia bertembung dan berdekatan sekali gus untuk tujuan kemasyarakatan.
Namun dalam kita menyambut sesuatu perayaan, kita hendaklah menjaga apa yang boleh dan apa yang tidak dibenarkan di dalam Islam, janganlah sesuka hati untuk mengikut. Bersikap wasatiyyah dalam menjaga keharmonian akidah. Begitu juga dalam konteks kongsi raya ini, jika sama dan kongsi dalam aspek ritual, maka tidak boleh sama sekali untuk menyambutnya.
Antara cabaran umat Islam menghadapi perancangan musuh Islam yang berniat untuk memerangkap masyarakat Islam. Justeru, wujudnya perayaan tertentu yang dianggap sebagai antara perangkap mereka untuk menyesatkan umat Islam. Komen?
Dr. Juanda: Soal pertikaian, permusuhan antara agama ini soal yang tidak boleh dielakkan. Setiap agama pasti akan promosikan agama mereka dalam apa jua cara dan kaedah. Kelemahan utama umat Islam ialah soal jati diri yang amat lemah dan sering merasa mereka rendah diri terhadap orang lain dan inilah teori konspirasi yang tiada penghujungnya.
Umat Islam mesti faham siapa diri mereka dan teras diri setiap umat Islam ialah akidah dan kepercayaan. Mengucapkan tahniah sempena perayaan tidak menjadi isu, yang menjadi isu ialah apa yang kita reda tentang akidah mereka. Apabila seorang muslim turut menjadi makmum merayakan perayaan agama lain, ini sudah menunjukkan mereka tidak faham apa pegangan agama mereka. Dalam Islam soal akidah tiada kompromi dan soal kepercayaan tidak akan ada tolak ansur.
Bagaimana dengan sebutan atau ucapan tahniah, selamat dan sebagainya yang dituntut dalam syariat.. Sekiranya seseorang memeluk Islam dan emaknya masih belum memeluk Islam, kemudian ada perayaan yang bersifat keagamaan, bagaimana kita hendak mengeratkan silaturahim sebagai keluarga pada masa yang sama akidah kita masih dilindungi?
Nor Azamir: Perkara yang berkaitan dalam memberikan kasih sayang, hormat menghormati selagi tidak melibatkan upacara keagamaan tidak menjadi satu kekangan malah menjadi keharusan. Hatta mengucapkan selamat hari perayaan agama lain sekali pun, kita haruslah melihat secara wasatiyyah untuk kita capai soal perpaduan, soal rasa selesa dan ucapan itu sekadar ucapan. Manakala perkataan yang dipilih hendaklah memberi kefahaman yang jelas dan tidak menunjukkan tanda-tanda menyokong.
Setiap kali tahun baharu, mesti ramai penganjur yang adakan program dan sambutan tahun baharu. Sebagai mufti, nasihat kepada mereka dan garis panduan supaya penganjur tidak terkeluar daripada batas yang sepatutnya.
Dr. Juanda: Diingatkan kepada mereka yang menganjurkan sambutan tahun baharu bahawa mereka sebenarnya membawa kepada perkara maksiat dan dosa. Sambutan akan menjadi haram sekiranya perkara sampingan yang dibawa di dalam majlis tahun baharu berkenaan mempunyai aktiviti maksiat, parti seks, pergaulan bebas antara lelaki wanita dan pelacuran.
Pada peringkat awal, penganjur hendaklah mengenal pasti mereka yang terlibat dan aktiviti yang diadakan. Tidak dinafikan sambutan tahun baharu disambut oleh seluruh dunia dan ia tiada kaitan dengan mana-mana agama sekalipun kerana ia dikira sebagai tarikh pertukaran tahun.
Islam tidak melarang umatnya bergembira. Islam tidak melarang umatnya meraikan sesuatu perkara, tetapi batasan agama itu mesti dijaga, dipelihara dan sudah pasti kita tahu sambutan tahun baharu banyak pembaziran yang berlaku, dan akhirnya yang rosak dan lalai adalah sebahagian besarnya adalah orang Islam dan inilah perkara yang amat menyedihkan kita.
Hukum menyebut “I wish Santa Claus will fulfill all my wishes".
Nor Azamir: Isu yang timbul disini ialah kejahilan, kadangkala kita jahil tentang agama kita sendiri, tetapi kita mendalami agama lain. Mungkin penampilan agama lain yang cenderung kepada keseronokan, hiburan dan kurangnya penekanan dalam prinsip akidah dan syariat membuatkan masyarakat Islam mudah terpengaruh.
Sambutan Tahun Baru sebagai contoh, masyarakat harus sedar adakah menari-nari, menyanyi, melompat-lompat dan membakar bunga api akan mendatangkan keinsafan, cinta kepada agama dan negara dan membawa kebaikan selepas itu. Rata-ratanya tidak mendatangkan kebaikan malah membawa kepada perkara negatif.
Masyarakat yang hendak meraikan sesuatu perayaan sehingga sanggup memakai pemakaian mengikut upacara perayaan agama lain, semua ini boleh menjejaskan akidah umat Islam itu sendiri kerana setiap pemakaian mempunyai maksud dan falsafahnya yang tersirat terhadap agama tersebut.
Bagaimana pula dengan perayaan yang bukan melibatkan keagamaan seperti Hari Ibu, Hari Bapa dan Hari Belia yang jelas dicipta oleh masyarakat Barat. Apakah hukum merayakan perayaan ini? Bagaimana pula dengan seorang pekerja apabila dia ditugaskan untuk menguruskan majlis berkaitan agama lain sedangkan dia adalah seorang muslim?
Dr. Juanda: Perayaan seperti ini kita masih dalam perkara yang diharuskan oleh agama jika bertujuan baik. Tidak menjadi masalah selagi ia tidak membawa maksud peribadatan keagamaan.
Seorang pekerja yang diarahkan oleh majikan untuk mengadakan sambutan, mereka haruslah berterus terang. Jika ia membawa ke arah akidah, ia tidak dibenarkan dalam Islam
Dalam konteks politik negara, khususnya dalam Malaysia, pemimpin negara merupakan pemimpin kepada rakyat yang berbilang kaum dan agama. Oleh itu, tidak dapat dielakkan lagi bahawa akan ada ketikanya pemimpin negara dijemput daripada bangsa dan agama lain untuk menghadiri majlis. Apakah pandangan dalam isu ini?
Nor Azamir: Pemimpin perlu memahami garis panduan iaitu menjaga akidah dan juga menyebarkan akidahnya. Sekiranya dijemput untuk makan, memberi ucapan maka ia tidak menjadi masalah. Tetapi apabila diminta untuk melakukan upacara yang mempunyai unsur keagamaan, disinilah keberanian seorang pemimpin untuk tegas dan menyatakan bahawa ia bertentangan dengan agama Islam dan tidak boleh menyertai bersama dalam upacara tersebut.

Tiada ulasan: