
Dr. Mahathir Mohamad diiringi Hamzah
Zainuddin (kiri) dan Nurmala Abd. Rahim (kanan) pada Majlis Makan Tengah
Hari di Pusat Maritim Putrajaya, semalam.
*****
PUTRAJAYA 28 Nov. - Kelemahan dalam pengurusan
tunai merupakan penghalang kepada usahawan bumiputera mencapai kejayaan
lebih besar dalam bidang perniagaan, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr.
Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, usahawan bumiputera harus lebih mahir dalam
pengurusan kewangan termasuk menggunakan sumber yang ada secara bijak
untuk memajukan perniagaan masing-masing.
''Jika usahawan bumiputera mendapat pinjaman RM1 juta untuk tujuan
perniagaan, mereka akan belanja separuh daripadanya untuk membeli kereta
mewah atau barangan lain.
''Pinjaman tersebut bukan sahaja tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya
dalam perniagaan tetapi mereka juga perlu membayar faedah atas dana yang
diperoleh," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program
bicara tengah hari sempena Perhimpunan Usahawan Bumiputera Industri
Perkayuan di Pusat Maritim Putrajaya di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi,
Datuk Hamzah Zainudin dan Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan,
Perladangan dan Komoditi, Datin Paduka Nurmala Abd. Rahim.
Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, usahawan bumiputera juga
didapati gagal menguasai beberapa perniagaan francais di negara ini
kerana tidak menguruskan aliran tunai dengan berkesan.
''Peniaga Melayu berkenaan gagal kerana selepas mereka mendapat
keuntungan, hasil itu tidak dilabur untuk beli stok atau memajukan
perniagaan tetapi digunakan untuk tujuan lain," katanya.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan usahawan bumiputera melakukan
usahasama dengan syarikat lain bagi menimba pengalaman dan ilmu yang
diperlukan untuk memajukan diri.
''Selain perlu bekerja dengan rajin, usahawan bumiputera juga harus
bekerja secara bijak dan untuk tujuan itu, kita perlu menimba ilmu
melalui pelbagai kaedah termasuk membaca buku.
''Seterusnya kita mesti mengenal pasti apa yang kita mahu. Kita boleh
mulakan perniagaan secara kecil-kecilan dan selepas itu baru fikirkan
cara untuk memajukannya," katanya.
Dr. Mahathir turut menggesa usahawan bumiputera supaya meneroka
peluang dalam bidang yang berlainan bagi memastikan kejayaan dalam
perniagaan.
''Jangan nampak orang lain berjaya dengan jual nasi lemak, semua
orang pun pergi jual makanan yang sama dan akhirnya gagal," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan