31 Januari 2013

Apabila kerjanya, hanya tunggu bola tanggung!

UMPAMA bermain badminton... hanya menunggu bola tanggung! Apabila ada saja peluang, tidak kiralah apa jua isu yang lalu dan melintas, terus dipukul.
Dari hal-hal yang berkaitan dengan kepimpinan, pengurusan, kewangan, ekonomi, keselamatan, masalah sosial termasuk yang membabitkan hal kematian, semuanya mahu dan boleh sahaja dipolitikkan. Asalkan ada bahan untuk menyalahkan mana-mana pihak, semuanya jalan saja.
Itulah cara berpolitik di Malaysia. Tidak kira pemimpin parti politik mahupun penyokong-penyokong tegarnya, amat gemar menggunakan ‘kreativiti’ masing-masing untuk mengaitkan satu-satu isu dan peristiwa dalam negara ini untuk menjadi laba politik mereka.
Terbaru, dalam kes kematian kanak-kanak berusia 6 tahun, William Yau Zhen Zhong. Ketika ibu bapa mangsa sedang dirundung kesedihan dan berduka, Penasihat parti DAP, Lim Kit Siang terus membuat kenyataan yang sangat dangkal di twitternya - Malaysia ini sudah tidak selamat kepada kanak-kanak!
“6 years William Yau‘s tragic death-apart from Umno/BN ministers/ leaders, Malaysia just not safe even for Children like William."
Adakah bijak mengeluarkan kenyataan seperti ini? Apakah setiap kali ada kanak-kanak yang dibunuh dan terbunuh di Malaysia ini, terus mengatakan negara ini tidak selamat lagi untuk kanak-kanak? Ada berapa juta kanak-kanak di Malaysia ini yang kini terancam nyawanya, janganlah buat kenyataan sembrono begitu uncle! Jika tidak selamat kepada kanak-kanak, mungkin nyawa anda juga sedang terancam. Tidak berasa bimbangkah tinggal di Malaysia yang tidak selamat ini?
Mengapa cuba-cuba mahu mencetuskan rasa panik dan kurang senang orang ramai. Sudah tentunya, ramai yang membaca kenyataan Kit Siang ini, bukannya merasa panik, tetapi pelik kenapa seorang pemimpin seperti ini boleh mengeluarkan kenyataan yang melulu itu.
Kit Siang, semua orang pun mahu hidup aman damai di negara ini. Kita sama-sama ada tanggungjawab untuk menjaga keselamatan keluarga, anak-anak kita dan negara ini.
Jika pembangkang sendiri yang memerintah, dapatkah pakatan memberi jaminan 100 peratus bahawa jenayah tidak akan berlaku di negara ini? Tiada kes culik dan bunuh kanak-kanak? Negara ini bebas daripada tragedi dan bencana alam? Formula apakah yang akan mereka gunakan agaknya, yang membuatkan semua penjenayah akan pakat beramai-ramai insaf dan tidak melakukan jenayah lagi?
Di negara ini, budaya dan cara berpolitik cukup pelik. Bila ada sahaja sesuatu peristiwa yang menggemparkan dan isu berbangkit, mereka sedaya upaya mahu cari jalan agar ia disensasikan. Ini supaya semua punca-punca kemalangan, kecelakaan dan tragedi itu dapat dihalakan kepada pemerintah. Ini termasuk juga pemberian bantuan. Bila diberi bantuan pun sudah seperti jatuh jadi satu kesalahan juga, diperlekehkan dan dipersoalkan, tapi bila tidak dibantu dikata makan duit rakyat pula.
Tanpa mengeluarkan fakta-fakta kuat dan sahih yang menyokong kenyataan mereka, rakyat di negara ini diharapkan termakan dan terpengaruh dengan apa yang mereka katakan. Itukah cara-cara berpolitik pemimpin-pemimpin yang kononnya memperjuangkan nasib rakyat ini?
Seperti kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa mengulas mengenai pemasangan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di negara ini: “Politik demokrasi di negara ini sudah sampai ke peringkat yang cukup tinggi. Usaha untuk menyelamat nyawa pun boleh jadi isu. Bilakah akan kembali kesiuman kita? Apakah segala-galanya perlu dipolitikkan atau ditentang kerana kita berhak menentang?"
Pun begitu, rakyat yang sudah semakin bijak ini sentiasa melihat dan menilai prestasi parti-parti politik ini. Sedarkah mereka, rakyat sebenarnya sudah meluat dengan kecelaruan ini?
Sebab itu, begitu ramai anak-anak muda kita tidak mahu ambil kisah dengan isu-isu nasional yang berbangkit di negara ini. Mereka meluat dengan cara berpolitik negara ini. Mereka menganggap politik itu sesuatu yang kotor, tiada keikhlasan dan amat membosankan.
Kita marah melihat anak-anak muda kita bersikap biadap dan tidak menghormati orang lain. Sedangkan, pemimpin-pemimpin parti politik ini pun tidak menunjukkan teladan yang baik, masing-masing bercakaran.
Dan rakyat sudah tentunya mahu semua parti politik di negara ini bekerja keras untuk membantu rakyat dan membangunkan negara ini. Sebab itu mereka dipilih rakyat. Bukan dipilih untuk mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak masuk akal dan tidak menguntungkan rakyat dan negara.
Sebagai seorang pemimpin rakyat, mereka sepatutnya banyakkan bekerja untuk rakyat dan kurangkan politiking. Kalau rasa negara ini tidak selamat, sama-samalah membantu kerajaan yang dipilih rakyat ini menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat. Bukan mencerca atau menyalahkan mana-mana pihak.
Jika cara berpolitik seperti ini diteruskan, parti politik ini mungkin yang ‘tidak selamat’ pada pilihan raya umum akan datang. Ini kerana rakyat sentiasa memerhati.

Tiada ulasan: