27 Januari 2013

Dr. Rozmey peruntuk RM20 juta bina semula Gaza

CHE Rozmey Che Din (dua dari kanan) bersama barisan pengurusan dR Rozmey Group menunjukkan cek bagi pembinaan masjid Nour Ar Rozmey di Palestin di Jitra, Kedah, semalam. 
*****
KUBANG PASU 23 Jan. - Usahawan produk kesihatan, Datuk Dr. Che Rozmey Che Din memperuntukkan sumbangan RM20 juta untuk membangunkan semula bumi Palestin termasuk membina sebuah masjid bernilai RM1.5 juta yang musnah akibat serangan tentera Israel.
Beliau yang juga Presiden dR Rozmey Group (dRG) berkata, sumbangan peribadi itu bagi menjayakan pelan pembangunan selama lima tahun menerusi empat teras utama iaitu penajaan anak syuhada dan yatim, pembangunan perumahan dan infrastruktur, pembinaan masjid serta pembangunan hospital.
Katanya, buat permulaan, sebanyak RM1.5 juta disumbangkan untuk membina sebuah masjid dinamakan sebagai Nour Ar Rozmey di Khan Yunis, Gaza dan RM500,000 disalurkan untuk program realiti Rebuilt Gaza tahun ini.
"Masjid yang runtuh akibat serangan rejim Zionis pada 2009 di tengah pusat bandar Gaza akan dibina semula dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh dRG.
"Kerja-kerja pembinaan masjid dua tingkat berciri Melayu yang mampu menampung 4,000 jemaah itu dijadual bermula bulan depan dan dijangka siap pada Julai ini," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Bandar Darulaman, di sini hari ini.
Semalam Pengarah Strategi Majlis Penubuhan Perundingan Islam Malaysia (Mapim), Sani Araby memberitahu, seorang usahawan Melayu yang enggan dikenali menyumbangkan RM1.5 juta bagi membina sebuah masjid itu Gaza.
Menurut Dr. Che Rozmey, program realiti Rebuilt Gaza akan dikendalikan oleh selebriti Afdlin Shauki dan angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha.
Menurutnya, bagi menjayakan misi ini, pihaknya bekerjasama dengan Mapim yang berpengalaman dalam misi bantuan ke Gaza dan pada masa sama, bersedia bekerjasama dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain bagi membangunkan Gaza.
"Saya melahirkan komitmen tahunan lebih RM1 juta dalam kerja-kerja kebajikan di Malaysia dan sudah tiba masa saya melakukan komitmen sama di peringkat global.
"Komitmen ini memberi isyarat jelas kita bersama rakyat Palestin dalam perjuangan mereka di bumi Gaza," katanya.
Menurut Dr. Rozmey, beliau akan menyertai misi ke Gaza bersama delegasi Mapim yang dijadual pada 19 Februari ini bagi melihat sendiri kehidupan mereka dan mengenal pasti bantuan selanjutnya yang wajar diberikan.

Tiada ulasan: