8 Januari 2013

Hadi belakangkan fatwa - Rais

KUALA LUMPUR 6 Jan. - Tindakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan amanatnya mencerminkan beliau membelakangkan Majlis Fatwa Kebangsaan.
Dalam masa sama, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim meminta Abdul Hadi supaya tidak berdolak-dalik mengenai surat rasmi berhubung keputusan mengharamkan amanatnya itu.
Beliau berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan pada 24 Julai 2002 telah pun memutuskan Amanat Haji Hadi yang dikeluarkan pada 1981 adalah bercanggah dengan ajaran Islam dan prinsip dakwah Islamiah.
"Ini mencerminkan bahawa beliau (Abdul Hadi) membelakangkan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan.
"Sebagai pemimpin, beliau sepatutnya menghormati nas-nas Islam dan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang telah pun mengharamkan amanatnya itu dan bukan mencabar majlis itu mengeluarkan surat kepadanya," kata beliau.
Rais ditemui pemberita selepas majlis ramah mesra dan Pertandingan Badminton Persahabatan D'Sury dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Dewan Badminton, Istana Negara lama, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf, Pengerusi Bernama, Datuk Abdul Rahman Sulaiman dan Ketua Pengarang Bernama, Datuk Yong Soo Heong.
Beliau berkata, sesiapa sahaja yang melanggar keputusan tersebut, harus berhadapan dengan ummah dan majlis fatwa itu sendiri.
Semalam, Abdul Hadi menyatakan beliau tidak menerima surat rasmi mengenai keputusan amanat itu dan mencabar Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkannya.
Sementara itu, mengulas mengenai isu pemberian tanah kepada dua pemimpin DAP, Rais berkata, perkara tersebut perlu diterangkan kepada orang ramai khususnya penduduk di Kelantan agar kepentingan perundangan dan masyarakat serta pentadbiran tanah terjawab.
"Setakat ini tidak ada penjelasan yang dilihat difahami rakyat. Oleh demikian, siasatan perlu disegerakan sama ada melalui Suruhanjaya Diraja atau undang-undang yang sedia ada," katanya.
"Saya bersetuju dengan cadangan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed agar Suruhanjaya Diraja ditubuhkan, namun jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh menentukan cara dan kaedah, siasatan perlulah dibuat secepat mungkin," katanya.

Tiada ulasan: