31 Januari 2013

Hadi didakwa hina pengorbanan penyokong tegar

KUALA TERENGGANU 29 Jan. - Bekas aktivis Pas, Zainon Ismail mendakwa Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerusi buku Amanat Haji Hadi yang dilancarkan semula pada 11 Januari lalu menghina semua ahli Pas termasuk yang terbunuh dalam peristiwa Memali sedangkan Presiden Pas itu pernah mengisytiharkan mereka sebagai mati syahid.
Zainon yang juga penulis buku Kafirkah Aku?, berkata, di dalam buku cetakan kedua Amanat Haji Hadi itu, kandungannya antara lain turut menyebut segelintir ahli Pas sebagai pelampau yang memberi gambaran buruk terhadap 'amanat' itu.
Beliau turut menunjukkan bukti itu yang terdapat dalam muka surat 55 perenggan ketiga di dalam buku Amanat Haji Hadi, Antara Fitnah dan Fakta selain tajuk Penghuraian Dan Penjelasan Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang.
"Perenggan itu dalam baris kelima menyebut: 'tindakan keterlaluan oleh segelintir pelampau Pas'. Di sini digunakan perkataan pelampau Pas dan perkara menyebabkan mereka disingkirkan daripada Pas atau mereka lari daripada Pas," katanya.
Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah selama dua jam pada program Diskusi Dilema dan Ranjau Perjuangan Islam di Malaysia di Stadium Negeri, di sini hari ini.
Dalam usaha mempertahankan amanat yang menjadi pegangan penyokong Pas, Zainon berkata, Abdul Hadi dengan mudah seolah-olah mempersalahkan begitu ramai kalangan yang berfahaman sepertinya yang mengkafirkan UMNO selama ini.
Zainon yang juga dikenali sebagai C.N. Al-Afghani berharap supaya Presiden Pas itu menarik balik penggunaan perkataan 'pelampau Pas' kerana ia turut menjejaskan martabat mereka yang turut terbunuh dalam dalam peristiwa Memali berdasarkan keyakinan mereka terhadap amanat itu.
Menurutnya, dengan pendirian Abdul Hadi itu yang tidak menghiraukan segala desakan dan fatwa, pemimpin Pas itu mahu terus membenarkan UMNO dan penyokongnya terus dikafirkan.
Zainon sekali lagi lagi menawarkan diri untuk bersemuka dengan Abdul Hadi untuk bermuzakarah serta berbincang mengenai isu tersebut demi kepentingan akidah dan perpaduan ummah di negara ini.

Tiada ulasan: