27 Januari 2013

Isu kalimah Allah letak Pas dan Hadi di persimpangan

KEPUTUSAN Majlis Syura Pas mengenai kalimah Allah menimbulkan polemik. Dalam hierarki kepimpinan Pas, Majlis Syura adalah kuasa tertinggi mengatasi yang lain termasuk pendirian Presiden.
Pendirian Presiden mengenai persetujuan awal dalam kalangan pimpinan tertinggi pakatan pembangkang sepatutnya dengan sendirinya terbatal.
Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pakatan Pembangkang tidak menyatakan pendirian yang jelas. Apakah kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali adalah sebenarnya pendirian Anwar yang mahukan pendirian awal Abdul Hadi Awang kekal sebagai pendirian pakatan.
Jika ini isunya kepimpinan pakatan pembangkang menghadapi dilema besar. Karpal Singh juga meminta Abdul Hadi menimbang semula pendirian sementara Lim Guan Eng yang mencetuskan isu ini enggan menyatakan pendiriannya meskipun dibantah oleh umat Islam.
Keputusan Majlis Syura Pas terkait dengan pertimbangan syarak. Desakan Azmin kepada Abdul Hadi adalah pertimbangan politik dan akal, kata Harun Taib.
Malangnya, isu kalimah Allah adalah perkara pokok dalam akidah Islam. Ia boleh membawa kepada kufur dan syirik kata Haron Din.
Kalau Karpal Singh mendesak, khalayak boleh faham. Ia adalah strategi politik untuk mengelakkan perbalahan berlaku. Kalau desakan itu datang daripada kelompok Anwar, orang geleng kepala. Apakah semasa Anwar memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dulu proses syura tidak terjadi. Atau Anwar dikatakan tidak ikut syura bila meninggalkan ABIM untuk menyertai UMNO.
Isu pokoknya ialah keputusan yang berasaskan syarak tidak sama dengan keputusan politik yang berasaskan kepentingan manusia. Ini yang menjadikan Abdul Hadi serba salah kerana persetujuan awal dengan pimpinan pakatan sudah dibuat sebelum Majlis Syura memutuskannya.
Nik Aziz, Mat Sabu, Nasrudin Tantawi melakukan pusingan U bila Majlis Syura membuat keputusan. Inilah peliknya pendirian kepimpinan tertinggi Pas. Tak rujuk Majlis Syura buat kenyataan awal mengenai kalimah Allah kemudian tarik balik.
Apakah keengganan Abdul Hadi terhadap desakan Azmin dan Karpal Singh boleh mencetuskan perbalahan yang lebih besar. Pendirian Abdul Hadi dan pendirian Pas terhadap kalimah Allah nampaknya macam kukuh. Bagi Pas kalimah Allah adalah isu pokok sedangkan bagi Azmin dan Karpal Singh, isu kalimah itu adalah isu politik.
Bagaimana pada awalnya Abdul Hadi setuju dengan penggunaan kalimah Allah kerana keputusan Majlis Syura jauh lebih berwibawa. Kalau Abdul Hadi menentang keputusan Syura dan tetap berdiri teguh dengan kepimpinan pakatan seolah-olah beliau tidak menghormati proses syarak yang jauh lebih utama.
Penganalisis politik mendapati bahawa provokasi Guan Eng itu tidak berlaku secara kebetulan. Ia ada strategi untuk kumpulan Kristian terutama di Sabah dan Sarawak secara jangka panjang.
Tetapi mengapa Abdul Hadi harus terjebak dengan membuat pendirian awal sedangkan dalam kepimpinan Pas sendiri isu ini menimbulkan perbalahan kerana kesan penerimaan kalimah Allah digunakan dalam versi Melayu Bible boleh memberi kesan jangka panjang terhadap umat Islam itu sendiri.
Justeru khalayak berpendapat Pas sudah kerap kali diuji supaya perkara-perkara pokok dalam perjuangannya diubah oleh PKR dan DAP. Yang paling utama ialah perjuangan menegakkan negara Islam bertukar kepada negara berkebajikan.
Pas akur dengannya sehingga Abdul Hadi membuat kenyataan perjuangan Negara Islam tidak ada dalam al-Quran. Ini mengejutkan banyak pihak semata-mata untuk memberi justifikasi terhadap Buku Jingga.
Berbangkit isu liberalisme, pluralisme agama, LGBT, murtad dan sebagainya yang dibangkitkan oleh NGO Islam, Pas berdiam diri dan kalau ada pun kenyataan mengenainya ia berlaku secara terpencil.
Apakah Pas dan Abdul Hadi akhirnya akan tunduk dengan desakan Azmin dan Karpal Singh untuk mengekalkan pendirian terhadap penggunaan kalimah Allah atau tegak berdiri dengan keputusan Majlis Syura yang dengan sendirinya bercanggah dengan pendirian awal Abdul Hadi dan sebilangan kepimpinan yang lain.
Harus ada deep thinking atau muhasabah diri apakah Pas mempunyai pendirian sendiri terhadap isu pokok dalam Islam iaitu kalimah Allah atau selalu kena ikut kehendak PKR dan DAP walaupun ia menyalahi syarak.
Inilah cabaran Pas sebenarnya sama ada ingin tegak dengan perjuangan Islam atau terus cair dengan pendirian ingin bersama ke Putrajaya kerana politik dan kuasa.

Tiada ulasan: