
MOHD. Syahrir Abdul Aziz (kiri)
menunjukkan laporan polis bagi membantah Himpunan Shamsidar di Ibu
Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/WAHIDAH
ZAINAL
KUALA LUMPUR 10 Jan. - 'Jangan letak pasir dalam periuk nasi kami'.
*****
Itu antara tulisan dalam poster dibawa sekumpulan ahli Pertubuhan
Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (Petekma)
semasa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini
hari ini.Laporan itu dibuat bagi meminta pihak berkuasa mengambil tindakan menghalang penganjur Himpunan 12 Januari meneruskan rancangan berarak dan mengadakan perhimpunan di Stadium Negara pada Sabtu ini.
Timbalan Presiden Petekma, Mohd. Syahrir Abdul Aziz berkata, beliau yang mewakili 37,000 pemandu di teksi di Lembah Klang tampil membuat laporan polis mendesak supaya perhimpunan itu dihalang kerana bimbang kehadiran peserta berarak di jalanan akan menjejaskan mata pencarian mereka.
"Perhimpunan ini adalah bermotif politik. Kenapa mereka (pembangkang) tidak tunggu sahaja Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) jika mahu memprotes atau memilih kerajaan yang disukai.
"Apabila mengadakan perhimpunan jalanan, pemandu teksi seperti kami yang terjejas dan hilang punca pendapatan kerana tiada pelancong asing mahu menggunakan teksi untuk keluar bersiar-siar di ibu negara jika keadaan huru-hara," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas membuat laporan itu.
Mohd. Syahrir berkata, pemandu teksi di Lembah Klang sudah melalui pengalaman pahit apabila hilang pendapatan semasa pembangkang menganjurkan perhimpunan Bersih yang mencetuskan kekecohan sebelum ini.
Beliau berkata, pihaknya amat kecewa kerana walaupun sudah banyak kali membuat laporan polis membantah tindakan pembangkang menganjurkan perhimpunan jalanan sebelum ini tetapi perkara tersebut masih berterusan berlaku.
"Sebelum ini, kita tengok kereta polis diterbalikkan dan anggota polis cedera dipukul oleh peserta perhimpunan Bersih tetapi mereka (penganjur) tidak serik," katanya.
"Kita minta pihak Kementerian Dalam Negeri dan polis agar menghalang perhimpunan kali ini kerana berpandangan perhimpunan ini akan mencetuskan rusuhan dan kacau bilau yang boleh menyebabkan harta awam rosak dan keselamatan orang ramai terjejas.
"Kasihanlah kami kerana perhimpunan ini akan menjejaskan pendapatan kami yang memandu teksi sedangkan ia sumber rezeki," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan