23 Januari 2013

Karpal usah campur - Nasrudin

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Dewan Pemuda Pas Pusat hari ini membidas tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mahu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengkaji semula keputusan Majlis Syura Ulama parti itu berhubung penggunaan kalimah suci Allah.
Ketika bangkit mempertahankan keputusan majlis itu, ketuanya, Nasrudin Hassan menegaskan Karpal tidak harus mencampuri perkara yang diputuskan oleh Majlis Syura Ulama Pas iaitu kalimah Allah hanya untuk agama Islam.
"Saya bersama Pemuda Pas tetap dengan keputusan Majlis Syura Ulama yang diputuskan sebulat suara. Karpal Singh usah campur," katanya kepada Utusan Malaysia dalam khidmat pesanan ringkas (SMS), di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Karpal yang mahu Abdul Hadi mengkaji semula keputusan Majlis Syura Ulama parti itu yang berpendirian kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh umat Islam.
Kata Karpal, perkara itu bertujuan memastikan pendirian Pas selaras dengan keputusan yang dicapai pakatan pembangkang pada 8 Januari lalu.
Sementara itu, Abdul Hadi dalam satu kenyataan berkata, beliau tidak akan tunduk dengan desakan DAP supaya mengkaji semula keputusan Majlis Syura Ulama parti itu yang berpendirian kalimah Allah hanya untuk umat Islam.
Setiausaha Politiknya, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ketika dihubungi semalam berkata, Abdul Hadi akan mempertahankan pendirian Majlis Syura itu walaupun jelas bertentangan dengan pendirian pakatan pembangkang.
Mengulas isu sama, Dewan Ulama Pas turut menegaskan pendirian Pas berhubung isu penggunaan kalimah Allah tidak perlu dipersoalkan oleh pakatan pembangkang kerana kerjasama yang dijalinkan hanya dalam soal politik dan bukannya agama.
Ketuanya, Datuk Harun Taib menjelaskan, selain persoalan politik untuk bersama-sama mencapai kemenangan dalam pilihan raya, persoalan yang menyentuh agama, Pas boleh membuat keputusan bersendirian.

Tiada ulasan: