27 Januari 2013

Milik siapakah mandat 2013?

Pelbagai harapan rakyat terhadap tahun 2013, yang pasti parti mana yang mereka akan beri mandat untuk memimpin Kerajaan Pusat dan negeri. - Gambar hiasan 
*****
PENGHIJRAHAN dari tahun 2012 ke 2013 yang pasti hangat adalah mengenai pilihan raya. Tidak lagi wujud teka-teki bilakah Pilihan Raya Umum (PRU) akan diadakan memandangkan tempoh matangnya akan berakhir pada 2013.
Maka 2013 boleh dianggap sebagai tahun PRU dan sepanjang 2012, ia boleh dinamakan sebagai tahun melakukan persediaan PRU walau dihujani dengan ramalan tarikhnya. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga ada menyatakan bahawa PRU-13 sudah hampir dan bakal diumumkan dalam masa terdekat ini.
PRU-13 dianggap penting kerana kesemua parti politik bergelut dengan persoalan persepsi dalam politik. Dalam kesarjanaan politik, politik dianggap sebagai 'seni yang berkemungkinan' dan waktu yang sama, politik dianggap sebagai 'siapa mendapat apa'. Kuasa, autoriti dan kedudukan menjadi rebutan dalam membentuk kepimpinan kerajaan.
Legitimasi politik melalui pilihan raya membolehkan mandat itu digunakan oleh sesebuah kerajaan untuk memenuhi keperluan, kemahuan dan pemetaan mindset anggota masyarakat. Melihat kepada persoalan siapakah yang wajar mendapat mandat 2013; masyarakat harus mampu menilai berdasarkan kepada pencapaian sepanjang 2008-2012 kerana melalui PRU-12, sudah wujud pentadbiran parti pembangkang di beberapa negeri seperti Kedah, Pulau Pinang, Selangor manakala Kelantan tidak pernah berubah sejak 1990.
Laungan 'Janji Ditepati' dan 'Demi Rakyat' akan bergema dan asasnya kembali kepada bagaimana senarionya sudah berubah sejak kejutan keputusan PRU 2008. Dalam fasa terakhir sebelum perkiraan PRU dalam jangka beberapa minggu lagi (walau ramai suka melihat mengikut tempoh masa bulan), benarkah sudah bersedia? Sudahkah persiapan rapi yang dilakukan dengan tinggal masa dalam lingkungan beberapa minggu akan diterjemah dalam bentuk undian? Apakah kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman dikenal pasti di setiap kawasan?
Apakah isu penolak dan penarik PRU 2008 akan berulang dalam PRU akan datang? Isu kehidupan harian menjadi intipati kepada 2008 terutama isu kenaikan harga barang, petroleum, inflasi, sistem penyampaian perkhidmatan, agihan kekayaan negara, jenayah, rasuah, institusi kehakiman, demonstrasi komunal dan sivil, pertubuhan masyarakat sivil, kepimpinan pusat dan parti.
Kesemuanya mempunyai sumbangan kepada keterhakisan sokongan ke atas BN terutama penyaluran maklumat melalui media sosial baru iaitu facebook, twitter dan blog serta portal berita online. Lebih daripada itu, sukar untuk menelan dalam real politik 2008 tetapi hakikatnya masing-masing terlalu selesa dan tidak mahu mengakui wujudnya ketempangan dalam dunia politik ketika itu. Angkuh dan megah dengan kejayaan peringkat nasional sehingga mengabaikan peranan dan fungsi di peringkat lokal turut telah menjejaskan prestasi menyeluruh BN ketika itu.
Sejarah pembangunan dan pencapaian 55 tahun merdeka dihargai sebilangan dan selebihnya menganggap ia sebagai tanggungjawab mana-mana kepimpinan tanpa melihat kepada kedudukan beberapa negara serantau yang masih bergelut untuk membangun dan melakukan pembaharuan. Kestabilan dan keadaan menentu datangnya daripada pengalaman, kewibawaan dan ciri-ciri kepimpinan yang memberikan kepentingan kepada umum apatah lagi jika perubahan dari dalam dilakukan melalui pengajaran lalu.
Hatta, hari ini keadaan sudah berubah. Ia bukan sekadar antara kerajaan dan pembangkang tetap juga membawa mesej antara negara bangsa dan musuhnya dari luar. Mandat 2013 terasnya bergantung kepada kedayaupayaan memenangi kepentingan dalaman dan luaran.
Pada 2008 sebelum penarikan keluar daripada BN dan ada Ahli Parlimen menjadi anggota Bebas; BN menang 140 kerusi; PKR bertanding 97 dan menang 31; Pas bertanding 66 dan menang 23 manakala DAP tanding 47 dan menang 29.
Ini bermakna, BN memerlukan 11 kerusi untuk kemenangan dua pertiga manakala bagi barisan pembangkang, ia mempunyai 85 kerusi walaupun boleh menubuhkan kerajaan dengan majoriti tipis dengan penambahan 27 kerusi dari yang sedia ada dan mengharapkan BN kehilangan 26 kerusi daripada 137 yang dimiliki hari ini.
Mandat 2013 perlu melihat kepada pencapaian kepimpinan yang menerajui BN mahupun pakatan pembangkang dengan melihat kepada kad laporan pencapaian sebagai rujukan dan siapakah yang mampu membawa Malaysia ke persada yang jauh lebih baik walau dalam keadaan tidak stabil.
Najib diuji sejak 2009 yang berjaya memulihkan keadaan daripada tidak menentu akibat wujudnya saga rampasan kuasa '16 September' serta pelbagai andaian yang muncul daripada usaha berterusan kepimpinan tertentu yang mahu melahirkan keadaan tidak stabil agar mengganggu proses perjalanan sebuah negara bangsa.
Namun, ia tidak kekal lama kerana Najib sekurang-kurangnya berjaya keluar daripada serangan itu dengan menumpukan kepada 'pelan transformasi' yang dianggap lebih penting daripada tindakan pihak yang hanya mahukan kedudukan dan kuasa serta menjatuhkan beliau.
Pemimpin yang bertahan semasa krisis wajar diiktiraf akan keupayaan untuk tidak tunduk kepada desakan dan tekanan luar tetapi waktu yang sama menghimpunkan semula sokongan dalaman agar yang mengemudi menjadi contoh kepada yang lain.
Perbandingan antara pencapaian BN dan barisan pembangkang di peringkat negeri akan berlaku kerana sudah ada empat negeri yang ditadbir oleh Pas, DAP dan PKR tetapi intensiti psiki kemelut dalaman bagi kesemua parti boleh mempengaruhi perjalanan gerak kerja parti di saat kempen PRU.
Ia termasuk melihat kepada kepimpinan Pusat, negeri, bahagian dan cawangan serta cabang masing-masing serta perjalanan pemilihan dalam parti sendiri serta masalah yang dihadapi kerana kesannya amat besar ketika PRU. Calon bagi mana-mana parti akan menjadi penanda aras perubahan. Begitu juga dengan meminimumkan masalah dalaman masing-masing.
Milik siapakah mandat 2013; apakah yang boleh mempengaruhi tren pola pengundian PRU bergantung kepada kerasionalan setiap pengundi baik di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Sumbangan Sabah dan Sarawak amat penting kerana hampir 40 peratus (%) kerusi yang dimenangi dalam PRU 2008 datangnya dari negeri-negeri ini.
Faktor lain yang boleh memberi impak dan signifikan dalam PRU-13 adalah kedudukan penjawat awam, pengundi wanita, pengundi muda dan media sendiri. Pertembungan tidak selari pola pengundi bandar dan luar bandar akan kekal sebagaimana pertemuan antara masyarakat kelas atas, tengah dan bawahan terutama kelas pertengahan di kawasan bandar. Begitu juga dengan pola yang merentasi etnik dan agama yang mahu tidak mahu tidak dapat dielak sama sekali. Trend pengundian kenegerian juga akan berlainan kali ini.
Sebilangan pengundi sudah membuat keputusan namun 'pengundi atas pagar' akan mempunyai peranan besar dalam memberikan maksud ke atas sistem PRU negara ini. Di manakah kedudukan pengundi atas pagar hari ini? Keputusan yang selama ini berpusatkan kepada parti atau calon sudah mula longgar dan luntur kerana isu akan menjadi penentuan dalam kalangan pengundi yang juga diklasifikasikan sebagai golongan 'tengah' ini.
Walau tidak dinafikan sebahagian yang melakukan 'undi protes' akan kembali untuk perkukuhkan parti masing-masing tetapi ada sebilangan yang semakin membesar keluar daripada kepompong ikatan ideologi politik kepartian. Barang kali, ada sebahagian daripada kumpulan ini akan memilih untuk tidak keluar mengundi kerana tidak mahu mempengaruhi keputusan PRU yang tanpa disedari boleh membawa kesan kepada keadaan menentu.
Parti, calon dan isu adalah pilihan dan keupayaan parti politik untuk memberi kepentingan kepada kesemua elemen ini akan membantu proses meningkatkan tahap sokongan. Ramai sedar PRU akan datang bukan satu yang boleh dipangkah ikut 'suka-suka' tetapi akan perlu bersifat rasional dan praktikal tetapi kesemuanya juga bergantung kepada sejauh manakah kepimpinan kepartian sudah merungkai kemelut mandat 2008 agar 2013 menjadi harapan baru ke atas pembinaan yang dilakukan sepanjang 2008-2012.
Pertaruhannya adalah apakah majoriti yang bersifat besar dan kekal dapat diperolehi agar pasca PRU-13 melahirkan keadaan yang jauh menentu dan stabil berbanding pasca PRU 2008? Kesemua ini bergantung kepada mandat yang akan diberikan rakyat yang mempunyai sifat dan cita rasa tertentu ketika mengundi nanti.

Tiada ulasan: