9 Januari 2013

Nasharudin minta orang ramai jangan hadir Himpunan Shamsidar

KUALA LUMPUR 7 Jan. - Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa meminta orang ramai tidak hadir pada Himpunan Shamsidar yang dijadual diadakan Sabtu ini.
Menurutnya, isu melibatkan Shamsidar Taharin itu tiada kaitan dengan negara atau kepentingan awam sebaliknya lebih bersifat peribadi.
"Orang ramai tidak payah hadir. Ini bukan isu negara, bukan kepentingan awam tetapi lebih bersifat kepentingan peribadi.
"Oleh yang demikian biarlah pihak berkenaan sahaja yang menyelesaikan isu tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Bekas rakan karib Datuk Seri Anwar Ibrahim, Senator Datuk S. Nallakaruppan sebelum ini mendakwa pihak pembangkang merancang menganjurkan Himpunan Shamsidar beberapa hari sebelum perbicaraan kes saman fitnah melibatkan Ketua Pembangkang itu.
Anwar memfailkan saman fitnah terhadap Nallakaruppan serta Utusan Melayu (M) Berhad pada 26 Mac tahun lalu ekoran petikan ringkas yang disiarkan Utusan Malaysia pada 20 Mac tahun lalu di muka hadapan bertajuk Anwar biseksual, tak boleh jadi Ketua Pembangkang - Nalla dan berita penuh di muka surat enam bertajuk Nallakaruppan tuduh Anwar biseksual.
Mengulas lanjut, Nasharudin berkata, isu tersebut turut melibatkan institusi kehakiman, jadi biarkan pihak mahkamah sahaja yang menentukan kedudukan kes berkenaan.
"Sekiranya pihak mahkamah berpendapat ada pihak yang perlu memberi keterangan maka pihak yang berkenaan perlu memberi keterangan di mahkamah terbuka.
"Tidak perlu adakan demonstrasi, saya minta biarkan mahkamah yang menentukan keputusan dalam isu tersebut," katanya.

Tiada ulasan: