30 Januari 2013

Nasib Nasharudin seterusnya...

KETIKA penulis buat pertama kali terserempak dengan Nasharudin Mat Isa di Hotel Continental Kaherah pada 20 Januari lalu, sudah terdetik di hati penulis bahawa bekas Timbalan Presiden Pas itu tidak akan selamat lagi dalam parti berkenaan.
Ia memandangkan ini merupakan kali kedua Nasharudin mengikut rombongan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke luar negara biar pun atas nama berkaitan dengan Islam.
Kali pertama pada Ramadan lalu apabila Nasharudin dilihat bersama-sama Najib bertemu dengan ulama-ulama terkemuka Mekah. Ketika itu sudah ada desakan supaya Nasharudin dikenakan tindakan.
Bagaimanapun Nasharudin terus bertahan dan peluang puak-puak yang tidak menyenangi beliau (kerana rapat dengan pemimpin UMNO) terbuka apabila beliau berbalah dengan Pengerusi DAP, Karpal Singh dalam isu hukum hudud dan negara.
Tindakan Nasharudin dikatakan tidak disenangi oleh puak-puak Anwarinas kerana bimbang ia boleh menjejaskan hubungan dalam pakatan pembangkang. Namun mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana Nasharudin adalah Ahli Majlis Syura dan kedudukan beliau perlu ditentukan oleh majlis tersebut.
Tetapi ternyata ulama-ulama Pas dalam majlis berkenaan bersama-sama Nasharudin, beliau terselamat! Keadaan itu dikatakan terus mewujudkan perasaan membara puak-puak Anwarinas terhadap Nasharudin.
Kalau boleh mereka tidak mahu lagi melihat Nasharudin dalam Pas tetapi mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana Ahli Parlimen Bachok itu adalah anggota Ahli Majlis Syura.
Kini segala halangan untuk puak-puak tersebut sudah tidak ada lagi apabila Nasharudin secara rasmi dipecat sebagai ahli Malis Syura atas alasan tidak menghadiri mesyuarat.
Dalam soal ini, penulis diberitahu, memang majlis tersebut mempunyai alasan untuk berbuat demikian tetapi persoalannya kenapakah sekarang? Apakah benar kerana Nasharudin melanggar peraturan Majlis Syura atau Majlis Syura sudah tidak mampu lagi menahan tekanan puak Anwarinas dalam Pas?
Apabila Nasharudin tidak lagi menjadi ahli syura, maka nasib beliau kini akan ditentukan oleh Jawatankuasa Pas Pusat dan Biro Politik Pas. Ertinya, jika Nasharudin melakukan tindakan dilihat bertentangan dengan parti khususnya boleh menjejaskan hubungan Pas dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP maka beliau boleh dihadapkan ke jawatan berkenaan atau mungkin akan menerima nasib seperti mana Datuk Dr. Hasan Ali dipecat daripada Pas tanpa dipanggil membela diri.
Mungkin oleh kerana takut tindakan memecat Nasharudin akan menjejaskan peluang Pas dalam pilihan raya umum nanti, maka perkara itu didiamkan seketika, tetapi penulis percaya Nasharudin tidak akan dibiarkan lama berada dalam Pas.
Ia memandangkan biar pun apa juga Nasharudin lakukan hatta demi kepentingan umat Islam dan perjuangan asal Pas sekali pun, ia tidak akan diterima oleh puak-puak Anwarinas dalam parti tersebut.
Keadaan itu berlaku kerana puak-puak Anwarinas tidak mahu ada sesiapa pun yang boleh mengganggu sanjungan mereka kepada PKR dan DAP. Mereka tidak mahu ada orang seperti Nasharudin kerana ia ibarat ‘duri dalam daging’ dan ‘gunting dalam lipatan’.
Kini separuh impian mereka sudah tercapai apabila Nasharudin dipecat daripad Majlis Syura, mereka hanya tinggal separuh sahaja lagi untuk mengatur strategi agar nama Nasharudin Mat Isa bakal menjadi catatan sejarah perjalanan politik Pas.
Begitulah nasib Pas sekarang, parti itu bukan sahaja semakin tidak menentu arah tuju politiknya malahan semakin kehilangan keupayaan untuk mempertahankan pemimpin-pemimpinnya yang berjuang atas nama kebenaran dan kepentingan politik Islam Pas.
Percayalah Nasharudin tidak akan lama dalam Pas jika beliau tidak berhati-hati kerana puak Anwarinas akan memerhatikan beliau siang dan malam. Tersilap langkah, Nasharudin akan berada dalam ‘satu kelab’ bersama Dr. Hasan.
Apa yang kita saksikan sekarang ialah bagaimana Pas dikuasai oleh puak yang semakin gelojoh untuk memburu kuasa bersama PKR dan DAP. Akibat kegelojohan itu, mereka diperkotak-katikkan oleh kedua-dua parti berkenaan sehingga ada ketika Pas dilihat menjadi ‘penakut’ untuk mempertahankan perkara-perkara berkaitan Islam.
Oleh itu kita tidak perlu berasa terkejut dengan nasib Nasharudin, kalaulah dalam isu negara Islam, hukum hudud dan kalimah Allah pun Pas boleh bersikap ‘flip flop’, apatah lagi dalam soal nasib seorang pemimpin.
Kita akui Nasharudin mungkin ‘bersalah’ kerana tidak menghadiri mesyuarat sehingga memungkinkan Pas ada alasan untuk memecat beliau sebagai ahli Majlis Syura tetapi soalnya apakah tindakan itu betul? Tidakkah ia akan memberi isyarat kepada pemimpin dan ahli Pas bahawa pemecatan Nasharudin ada kaitan dengan hubungan baik beliau dengan pemimpin UMNO?
Sejarah mencatatkan, Nasharudin dulu pernah dikaitkan penubuhan kerajaan perpaduan melibatkan UMNO dan Pas, walaupun ketika itu beliau melaksanakan usaha berkenaan atas restu Presiden Pas, Datuk Abdul Hadi Awang dan Majlis Syura tetapi akhirnya Nasharudin diserang habis-habisan sehingga dianggap tali barut UMNO.
Istilah ‘tali barut’ UMNO juga diterima oleh beliau apabila terpampang gambar Nasharudin berdoa bersama Najib di bumi Gaza. Puak-puak Pas yang sudah dibutakan dengan politik kepartian dan tertutup minda akibat politik kebencian tidak dapat menerima kehadiran Nasharudin bersama Perdana Menteri.
Pelbagai khidmat pesanan ringkas (SMS) mereka hantar mengecam Nasharudin termasuklah menuduh beliau munafik, tali barut, ada udang di sebalik batu dan pelbagai tuduhan yang memualkan.
Penulis difahamkan, berikutan kehadiran Nasharudin bersama Perdana Menteri juga memungkinkan anggota-anggota Majlis Syura mengumumkan pemecatan beliau daripada majlis berkenaan yang dibuat pada 13 Januari lalu.
Ketika berita mengenai pemecatan Nasharudin itu heboh diperkatakan kelmarin dan dilaporkan oleh Utusan Malaysia semalam, Nasharudin baru sahaja menjejak kaki ke tanah air kira-kira pukul 3 petang kelmarin.
Ternyata sekali lagi, kepulangan beliau daripada misi suci ke Gaza bukannya disambut oleh rasa kesyukuran oleh Pas kerana ada pemimpin mereka memasuki tanah para syuhada itu sebaliknya mereka menyambut kepulangan beliau dengan pengumuman pemecatan beliau daripada ahli Majlis Syura.
Namun tiada apa yang harus dihairankan kerana itulah sikap politik Pas. Mereka semakin taksub memburu kuasa, semakin ghairah bersama pakatan pembangkang dan semakin bernafsu untuk menggantikan UMNO. Justeru akibat ketiga-tiga faktor ini, jangan ada sesiapa pun dilihat boleh memberi ancaman kepada matlamat berkenaan, jika tidak mereka akan disingkirkan. Pada Pas, perasaan pemimpin PKR dan DAP jauh lebih penting berbanding dengan pemimpin sendiri!
Apa pun kita menanti adegan seterusnya berikutan pemecatan Nasharudin daripada ahli Majlis Syura Pas, yang pasti Nasharudin tidak akan duduk diam kerana beliau telah menegaskan kepada penulis di Kaherah baru-baru ini bahawa, ‘‘Kalau saya mahu maju ke depan, saya tidak harus melayan tohmahan dan fitnah kerana apa yang saya lakukan atas niat mencari keredaan Allah SWT dan memenuhi sabda Rasulullah SAW."

Tiada ulasan: