20 Januari 2013

Pas dakwa kemelut selesai

KUALA LUMPUR 16 Jan. - Dewan Ulama Pas menganggap kemelut antara golongan ulama dan pucuk pimpinan parti ekoran pendirian berbeza dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, sudah selesai.
Ketuanya, Datuk Harun Taib berkata, golongan ulama dalam Pas menyokong sepenuhnya pendirian terbaharu Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang iaitu kalimah Allah hanya untuk orang Islam.
Beliau turut menafikan desas-desus bahawa berlaku ketegangan antara golongan ulama dan kepimpinan Pas apabila beberapa anggota majlis itu memberi kata dua termasuk untuk keluar parti pada mesyuarat Ahad lalu menyebabkan Nik Aziz terpaksa menukar pendirian.
"Isu ini sudah selesai. Tiada masalah antara ulama dan pemimpin dalam Pas," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz yang akur dengan pendirian terbaharu Mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas baru-baru ini iaitu tidak membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah.
Selain Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang sebelum ini menyokong penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam akhirnya mengubah pendiriannya apabila bersetuju dengan keputusan Majlis Syura Ulama Pas itu.
Abdul Hadi pernah mengeluarkan kenyataan bahawa Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah Allah dalam amalan mereka walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran selepas mesyuarat majlis pimpinan pakatan pembangkang pada 8 Januari lalu.
Kenyataan Abdul Hadi itu selari dengan ketetapan yang dibuat oleh majlis pimpinan pakatan pembangkang yang disertai Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memutuskan kalimah Allah boleh digunakan oleh penganut semua agama dengan syarat tidak disalahgunakan.
Bagaimanapun, ketetapan pakatan pembangkang itu ditolak pelbagai pihak termasuk Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan mufti-mufti negeri.

Tiada ulasan: