23 Januari 2013

Pas jangan tunduk walau dipaksa keluar

IPOH 21 Jan. - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menasihatkan pemimpin Pas supaya mempertahankan keputusan Majlis Syura parti itu bahawa kalimah Allah hanya untuk umat Islam meskipun berdepan kemungkinan dipaksa keluar daripada pakatan pembangkang.
Harussani menegaskan, Pas tidak wajar bertolak ansur atau membiarkan mana-mana pihak termasuk DAP memecah-belahkan umat Islam dalam soal menegakkan akidah.
"Sekarang agama kita sudah tercemar. Dalam soal mempertahankan akidah, Pas tidak bolehlah bertolak ansur. Kita bukan cakap fasal politik, kita bercakap fasal akidah yang mesti kita pertahankan.
''Kalau kerana mempertahankan akidah Pas dipaksa keluar (pakatan pembangkang) sekalipun, maka wajiblah Pas keluar. Kenapa Pas perlu mengalah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mahu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengkaji semula keputusan Majlis Syura Ulama parti itu yang berpendirian kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh umat Islam sahaja.
Katanya, perkara itu bertujuan untuk memastikan pendirian Pas selaras dengan keputusan yang telah dicapai pakatan pembangkang pada 8 Januari lalu.
Harussani berkata, isu tersebut sebenarnya menjangkaui perspektif politik kerana umat Islam perlu terus mempertahan dan memperjuangkan masalah akidah memandangkan ia adalah satu jihad.
''Apabila Karpal minta kaji balik keputusan Majlis Syura, dia lihat isu ini dari sudut politik. Tetapi dia kena faham ini bukan soal politik, ini soal akidah yang dia tidak boleh campur," katanya.
Beliau meminta orang Melayu supaya tidak terperangkap dengan isu agama yang sengaja dipolitikkan.

Tiada ulasan: