30 Januari 2013

Pemecatan Nasharudin agak aneh - TPM

KUCHING 28 Jan. - Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pemecatan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa daripada Majlis Syura Ulama parti itu sebagai satu keputusan yang 'agak aneh'.
Timbalan Perdana Menteri berkata, pemecatan itu mungkin berkaitan dengan langkah Nasharudin yang menyertai Kerajaan Pusat dalam membantu rakyat Palestin.
Katanya, perbezaan fahaman politik bukannya penghalang untuk mereka bekerjasama dan beliau yakin Nasharudin akan bersikap profesional.
"Jadi agak aneh apabila keputusan itu dibuat, seolah-olah menidakkan usaha dan kerja amal sedangkan Pas memperjuangkan Islam.
"Saya percaya Nasharudin akan terus berusaha dan membuat sesuatu untuk umat Islam serta menjalinkan hubungan baik dengan asas yang kukuh walaupun bersama dengan parti berbeza kerana perjuangan Palestin adalah isu semua orang Islam.
"Tetapi pemecatan itu hak mereka, kita perhatikan sahajalah," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis perjumpaan bersama 3,000 penjawat awam di sini hari ini.
Nasharudin dipecat daripada Majlis Syura Ulama pada 13 Januari lalu dengan alasan kerap tidak hadir mesyuarat serta sering membuat kenyataan yang tidak selari dengan pendirian dan ketetapan parti.
Bagaimanapun, difahamkan punca beliau dipecat kerana dilihat sebagai 'mesra Kerajaan Pusat' termasuk menyertai lawatan kemanusiaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Gaza, Palestin pada 22 Januari lalu.
Pada Ogos 2012, Nasharudin turut menemani Perdana Menteri bertemu dengan para ulama Arab Saudi di Mekah sempena Persidangan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Tiada ulasan: