20 Januari 2013

Pendirian Majlis Syura Ulama Pas tamparan buat Guan Eng

KUALA LUMPUR 16 Jan. - Pendirian Majlis Syura Ulama Pas bahawa kalimah Allah hanya untuk orang Islam disifatkan sebagai tamparan hebat kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang sebelum ini menuntut kerajaan membenarkan kalimah suci itu digunakan dalam dalam Bible versi bahasa Melayu.
Pengerusi Jaringan Muslimin Pulau Pinang (JMPP), Mohamed Hafiz Mohamed Nordin berkata, ekoran keputusan itu juga Guan Eng yang merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang sehingga kini terus membisu.
"Sudah tiga hari Majlis Syura Ulama Pas membuat keputusan tidak membolehkan terjemahan perkataan God atau Lord daripada mana-mana kitab agama bukan Islam kepada kalimah Allah kerana salah dari segi makna.
"Namun, Setiausaha Agung kesayangan DAP itu diam membisu kerana telah masuk ke dalam perangkap yang dipasangnya sendiri," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan sekumpulan 15 wartawan yang menghadiri sidang akhbar Guan Eng semalam gagal mendapatkan reaksi beliau mengenai isu kalimah Allah selepas Majlis Syura Ulama Pas memutuskan kalimah suci itu hanya untuk agama Islam.
Isu kalimah Allah itu mula tercetus apabila Guan Eng dalam perutusan sempena sambutan Hari Krismas lalu menggesa kerajaan membenarkan kalimah suci tersebut digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu.
Mohamed Hafiz berkata, DAP ketika ini juga terdesak meraih simpati pengundi bukan Melayu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 terutama di Sabah sehingga sanggup mempermain dan mempersendakan agama Islam yang merupakan agama Persekutuan.
Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, tindakan Guan Eng itu berjaya menghakis dan menghilangkan kepercayaan orang Melayu dan umat Islam terhadap DAP.
"Guan Eng dan DAP telah menyakiti hati pengundi dan penyokong Melayunya terutama di Pulau Pinang," katanya.
Sementara itu beliau berkata, JMPP mengutuk sekeras-kerasnya kegagalan Guan Eng dan DAP menghormati kesucian kalimah Allah dan agama Islam.
"Mereka juga menunjukkan contoh buruk kerana tidak menghormati Perlembagaan, Raja-raja Melayu dan Majlis Fatwa Kebangsaan. Tindakan rakus Guan Eng ini mencalar keharmonian hidup beragama yang sekian lama terpelihara.
"JMPP juga mendesak Gua Eng dan DAP menarik balik tuntutan melampau itu serta memohon maaf kepada Yang di-Pertuan Agong, Majlis Raja-raja, Majlis Fatwa Kebangsaan dan seluruh umat Islam," katanya.

Tiada ulasan: