31 Januari 2013

Persengketaan dalaman bawa kehancuran negara

MUTAKHIR ini kita berhadapan kembali dengan isu perebutan penggunaan kalimah Allah antara umat Islam dan bukan Islam. Keadaan ini diburukkan lagi dengan pertikaian dalam kalangan umat Islam sendiri berhubung kebolehan penggunaan kalimah Allah oleh penganut bukan Islam.
Kedua-dua keadaan tidak mendatangkan sebarang faedah kepada negara kerana ia akan mengundang dan mencetuskan perasaan marah, kebencian, perpecahan, kecelaruan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Situasi ini wajar ditangani secara matang dan profesional dengan mengembalikan kemelut tersebut kepada pihak yang berhak dan berautoriti yang telah dilantik oleh pihak kerajaan dan diamanahkan oleh rakyat jelata, bukannya dipolitikkan demi kepentingan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.
Sebagai seorang anak jati Malaysia yang memiliki penghayatan dan kecintaan mendalam terhadap bumi bertuah Malaysia ini, isu sebegini hendaklah diserahkan kepada kerajaan yang diwakili oleh para ulama yang telah dilantik, bekerjasama dengan para umara demi kestabilan, keselamatan dan perpaduan rakyat Malaysia.
Hanya apabila kita sebulat suara menyatukan kemahuan kita untuk akur atas peranan yang dimainkan oleh para ulama dan umara dalam hal ini, maka isu sebegini tidaklah sukar untuk diselesaikan.
Bersesuaian dengan perintah Allah SWT yang mewajibkan setiap umat Islam untuk mematuhi perintah-Nya selagi mana terdapat nas-nas yang jelas berhubung sesuatu permasalahan, dan sekiranya tidak terdapat nas-nas yang qati' (jelas) maka dirujuklah Sunnah Rasulullah, mahupun pandangan Ulil-Amri. (An-Nisa' 4: 59).
Malaysia adalah sebuah negara aman sejahtera, maju dan harmoni. Status ini perlu dijadikan keutamaan dalam hidup bermasyarakat. Pada masa yang sama, Malaysia juga adalah sebuah negara demokrasi berparlimen yang diketuai oleh seorang Raja Berperlembagaan.
Yang di-Pertuan Agong merupakan ketua negara sekali gus Ulil Amri kepada umat Islam di negara ini. Kepada bagindalah perkara ini wajar dirujuk apabila Raja-raja Melayu yang bersidang dalam Majlis Raja-raja bersama para mufti negeri masing-masing tidak dapat menyelesaikan kemelut berkaitan agama Islam.
Melalui mandat kuasa baginda maka Kerajaan Persekutuan berhak untuk memutuskan sebarang tindakan yang baik dan bermanfaat kepada umat Islam khasnya dan amnya kepada seluruh rakyat Malaysia. Sejak sekian lama Malaysia merdeka, kita telah menerima pakai kewujudan seorang menteri yang bertanggungjawab menjaga keharmonian agama dalam negara ini.
Di samping itu, Perdana Menteri juga menikmati pelantikan seorang penasihat agama berstatus menteri untuk tujuan melicinkan perancangan dan pelaksanaan dasar perpaduan dan keharmonian agama. Di bawahnya terletak jentera pelaksana yang mampu menyelesaikan kemelut ini dengan penuh tanggungjawab, dengan syarat kita menyerahkan yang hak kepada ahlinya demi menjauhkan kebatilan.
Untuk memantapkan lagi kerjasama antara orang Islam dengan bukan Islam, pada 2011, kerajaan telah menubuhkan satu institusi yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga keharmonian agama dan perpaduan dalam kalangan penganut agama melalui perkongsian maklumat, dialog, perbincangan berterusan dan aktiviti-aktiviti bagi menggalakkan saling percaya, bekerjasama dan menjaga keamanan.
Jawatankuasa ini dianggotai oleh wakil-wakil agama yang disyorkan oleh agama masing-masing dan juga memiliki autoriti dalam halnya. Institusi ini dinamakan Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Kerjasama antara Penganut Agama (JKMPKA) diselaraskan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.
Jawatankuasa ini dipimpin oleh Senator Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom selaku Penasihat Bersama, manakala tanggungjawab menggerakkan jawatankuasa ini dilaksanakan oleh Datuk Azman Amin Hassan, Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional selaku Pengerusi JKMPKA.
Tiga organisasi nasional berkaitan agama iaitu Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) dan Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN) dilantik selaku Urusetia Bersama bertanggungjawab mengadakan pelbagai aktiviti bersama bagi menggalakkan persefahaman dan kerjasama antara mereka.
Tujuan utama jawatankuasa ini ditubuhkan adalah untuk menjadi mekanisme dan platform dialog dan mediasi bagi mewujudkan persefahaman dan keharmonian antara penganut agama ke arah membina Malaysia sebagai sebuah negara berjiwa muhibah.
Jawatankuasa ini akan bersidang dan berbincang bagi mendapatkan pandangan dan syor yang bernas untuk dimajukan kepada Perdana Menteri dan Kabinetnya untuk tindakan selanjutnya.
Berdasarkan persepakatan ini, konflik agama tidak sepatutnya berlaku kerana sebarang isu agama boleh ditangani oleh pihak-pihak yang mempunyai keahlian dalamnya. Permasalahan besar dalam konteks negara kita adalah bilamana segelintir pimimpin mahupun parti politik menggunakan isu agama untuk dipolitikkan bagi mencari populariti demi kepentingan politiknya.
Tindakan sebegini adalah salah dan wajar dikutuk kerana pemimpin dan parti politik sedemikian rupa mengutamakan kepentingan peribadinya lebih daripada kepentingan awam. Mereka ini menidakkan pentingnya perpaduan, harmoni dan kestabilan negara.
Mereka juga menafikan peranan dan kesungguhan yang telah dimainkan oleh para umara dan ulama serta ahli-ahli dalam bidangnya. Jelas tindakan sebegini bertentangan dengan perintah ajaran sebenar Islam.
Oleh yang sedemikian, mereka ini patut mengelak mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dan mengelirukan rakyat dan seharusnya menyerahkan sebarang isu berkaitan agama kepada JKMPKA agar dapat ditangani dengan baik. Mereka wajar mempromosikan persefahaman dan kerjasama bukannya menggalakkan lagi perpecahan dan ketidakstabilan dalam negara ini.
Mereka wajar menasihati pengikut-pengikut mereka supaya akur dengan keputusan yang telah diambil oleh kerajaan rakyat bukannya bertindak bertentangan. Jika benar mereka ini serius dalam hal-hal sedemikian, beranikan diri melibatkan dan mengadakan dialog serta perbincangan dengan jawatankuasa tersebut agar suara dan pandangan mereka dapat diambil dan dilaksanakan dengan baik.
Demi agama, bangsa dan negara, kita hendaklah bersungguh-sungguh menjadi umat yang dikatakan khairu ummah (umat terbaik). dengan status ini barulah kita dapat menjadikan Malaysia setimpal dengan tanggapan negara Islam lain dan Barat bahawa Malaysia sebuah negara maju, aman sejahtera yang mengamalkan prinsip kesederhanaan (wasatiyyah).
Antara inti pati khairu ummat ini adalah dengan memastikan perpaduan dan keharmonian bukan sahaja dalam kalangan umat Islam malah antara mereka dan penganut agama lain.
Sebarang persengketaan agama hendaklah diserahkan kepada para ulama (ilmuwan) dan umara (pemerintah) untuk diselesaikan. Janganlah kita campur tangan dalam hal-hal yang kita sendiri bukan ahlinya.

Tiada ulasan: