31 Januari 2013

Sepatutnya dah lama bersara - Ibrahim Ali

KOTA BHARU 29 Jan. - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menasihatkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya 'cermin diri sendiri' terlebih dahulu sebelum melarang orang lain daripada bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, Nik Aziz sendiri sepatutnya sudah lama bersara daripada politik jika dilihat pada usianya yang terlalu tua dan tubuh badannya yang uzur tetapi sehingga hari ini dia masih 'menyayangi' jawatan politik yang dipegang.
Menurutnya, Menteri Besar Kelantan itu sebenarnya seorang yang pengecut jika dibandingkan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berani melepaskan jawatan ketika masih diperlukan.
"Beliau bercakap pasal seorang yang masih muda dan kuat supaya tidak bertanding di Parlimen Bachok sedangkan dia sendiri terlalu uzur, ada masalah kesihatan tetapi tidak pula mahu berundur.
"Jangan cakap 'ahli Pas masih mahu saya', sebaliknya Nik Aziz sepatutnya sedar apa yang perlu dilakukan. Dia sudah tidak relevan malah ramai lagi pemimpin Pas yang muda dan mempunyai kebolehan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ibrahim mengulas kenyataan Nik Aziz semalam yang mengumumkan bahawa Ahli Parlimen Bachok, Nasharudin Mat Isa tidak akan mempertahankan kerusi itu dalam pilihan raya umum akan datang.
Nik Aziz dilaporkan berkata, perkara tersebut ekoran nama Nasharudin tidak diletakkan dalam senarai calon oleh Pas kawasan Bachok.
Sementara itu, Presiden Angkatan Generasi Melayu Muda (Agenda), Mohamad Zaidan Abdul Rahim meminta ahli Pas mendesak Nik Aziz berundur sekiranya mahu mendapat pemimpin baru yang lebih segar dan bertenaga.

Tiada ulasan: