30 Januari 2013

Tindakan Nik Aziz satu sindiran kepada Dewan Ulama Pas

KUALA LUMPUR 28 Jan. - Kehadiran Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam sambutan hari jadinya yang ke-82 di kediaman Pengerusi DAP, Karpal Singh dilihat sebagai satu sindiran tajam kepada Dewan Ulama Pas berkenaan isu penggunaan kalimah Allah dalam kalangan orang bukan Islam.
Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, tindakan Nik Abdul Aziz itu sememangnya tamparan hebat kepada Dewan Ulama Pas kerana sebelum ini Karpal merupakan individu yang lantang meminta dikaji semula keputusan Majlis Syura Ulama Pas yang tidak membenarkan kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh umat Islam.
"Sikap Nik Abdul Aziz ini seolah-olah menolak pendirian ulama namun itu tidak mengejutkan kerana beliau sebelum ini merupakan individu terawal yang membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah namun kemudiannya tewas hujah dan terpaksa akur dengan keputusan Majlis Syura Ulama Pas.
"Tindakan Nik Abdul Aziz berjumpa dengan individu yang menentang keputusan Majlis Syura Ulama Pas itu wajar dipersoalkan, sehubungan itu Pas didesak menilai semula kedudukan Menteri Besar Kelantan itu sebagai Mursyidul Am parti berkenaan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia yang memetik laporan portal berita pro-pembangkang Malaysiakini memberitahu, Nik Abdul Aziz tiba di kediaman Karpal di Jalan Scotland, Pulau Pinang kira-kira pukul 3 petang dan meluangkan masa selama 20 minit beramah-mesra bersama Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu.
Malaysiakini juga melaporkan Mursyidul Am Pas itu memotong kek sempena ulang tahun kelahirannya ke-82 sambil disaksikan pemimpin DAP, Pas serta Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Tambah Ismail Mina, tindakan Nik Abdul Aziz itu juga seperti jawapan awal terhadap desakan daripada ahli Pas sebelum ini yang mahukan Parti itu menilai semula hubungan dengan DAP.
"Nik Abdul Aziz jelas tidak ambil kisah dengan desakan dan pandangan ahli Pas terutama berkaitan dengan tahaluf Pas dengan DAP," katanya.
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abdul Rahman pula berpendapat, dengan kehadiran Nik Abdul Aziz di kediaman Karpal, seolah-olah menunjukkan beliau masih mengiktiraf dan menerima pendirian DAP berkenaan isu kalimah Allah.
"Mungkin Nik Abdul Aziz sebelum ini terpaksa bersetuju dengan keputusan Majlis Syura Ulama Pas namun secara realitinya beliau dilihat masih menerima pendirian DAP," katanya.

Tiada ulasan: