4 Februari 2013

Dedah syarikat penerima tanah

KOTA BHARU 1 Feb. - Kerajaan Pas Kelantan diminta tidak berdiam diri berhubung desakan pelbagai pihak agar mendedahkan senarai syarikat yang menerima tanah untuk pembalakan dan pembangunan ladang komersial serta jumlah keluasan yang diberikan.
Pengerusi Gerakan Tukar Kerajaan Pas Kelantan (Tukar), Kamarudin Kasim berkata, sikap berdiam diri membuatkan kemarahan rakyat semakin meningkat kerana tanah melambangkan maruah dan harga diri mereka.
Beliau berkata, rakyat perlu tahu kesemua fakta tersebut kerana ia merupakan harta negeri ini yang dimiliki oleh rakyat manakala Pas yang menjadi kerajaan hanya diberi tugas untuk mengurus.
"Kami hairan kenapa terlalu susah sangat untuk Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendedahkan senarai syarikat atau jumlah keseluruhan tanah yang 'diserahkan' itu.
"Desakan ini bukan perkara baru malahan hampir setiap bulan ada demonstrasi mendesak Kerajaan Pas Kelantan supaya telus dalam isu ini. Bagi rakyat Kelantan tanah adalah maruah dan harga diri sehinggakan ada adik beradik bergaduh mengenai tanah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai analisis Utusan Malaysia yang bertajuk Kelantan Oh! Kelantan mengenai rintihan rakyat negeri ini terhadap kelemahan pentadbiran Kerajaan Pas Kelantan terutama dalam isu tanah.
Terbaru, bagaimana dua pemimpin DAP, Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming 'menerima' tanah lebih 4,000 hektar di hulu Kelantan untuk dibangunkan sebagai ladang komersial.
Ekoran itu, pelbagai pihak termasuk Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mendesak supaya Kerajaan Pas Kelantan bersikap telus dalam isu itu dengan mendedahkan senarai penuh syarikat yang menerima tanah berkenaan.
Kamaruddin berkata, rakyat negeri ini tetap kehilangan tanah biar apa pun terma yang digunakan oleh Kerajaan Pas Kelantan sama ada pajakan atau gadaian.
"Pemimpin Pas kata tanah ini tidak dijual tetapi hanya dipajak, apakah tempoh 60 tahun pendek? Tempoh ini terlalu panjang dan mungkin pada ketika itu pemimpin yang ada sekarang sudah mati, macam-macam boleh berlaku dalam tempoh tersebut.
"Apa salahnya sekiranya tanah tersebut diberikan terus kepada rakyat? Sebagai contoh jika tanah yang dimiliki Koo Ham dan Kor Ming diberikan terus kepada rakyat, seorang seekar tanah, maksudnya 10,000 rakyat dapat memiliki tanah sendiri.
"Bagaimana pula janji Kerajaan Pas Kelantan untuk memberikan tanah seluas 0.8 hektar kepada pesara tentera? Senyap sunyi tanpa khabar berita," katanya.

Tiada ulasan: