6 Februari 2013

Keputusan Majlis Syura Ulama Pas muktamad - Nik Aziz

BACHOK 4 Feb. - Tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang lantang menggesa Majlis Syura Ulama Pas meneliti semula keputusannya dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain, ternyata mengundang rasa kurang senang Musyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Nik Abdul Aziz yang diminta mengulas gesaan Karpal itu menegaskan, keputusan Majlis Syura Ulama itu adalah muktamad dan menganggap isu tersebut sudah selesai serta tidak perlu dipanjangkan.
Malah, beliau yang juga Pengerusi Majlis Syura Ulama Pas menganggap isu sudah lama selesai selepas majlis itu membuat keputusan.
“Tidak mahu sambung lagi isu ini, ia cerita lama buat apa hendak mengungkit-ungkit lagi sudah putus, putuslah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan jambatan baharu Pengkalan Cina bernilai RM3.4 juta, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Karpal yang mahu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengkaji semula keputusan Majlis Syura yang berpendirian kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh umat Islam.
Kata Karpal, perkara itu bertujuan memastikan pendirian Pas selaras dengan keputusan yang dicapai dalam mesyuarat pimpinan tertinggi pakatan pembangkang pada 8 Januari lalu.
Abdul Hadi sebelum ini pernah menyatakan Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah Allah dalam amalan mereka walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran.
Pendirian bersama pakatan pembangkang itu turut dipersetujui Nik Abdul Aziz dan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.
Bagaimanapun, Abdul Hadi, Nik Abdul Aziz dan Mohamad mengubah pendirian masing-masing setelah mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 13 Januari lalu memutuskan kalimah Allah adalah khusus untuk agama Islam dan tidak boleh digunakan oleh agama lain.
Terdahulu dalam ucapannya, Nik Abdul Aziz berkata, tidak menjadi sebarang kesalahan kepada orang bukan Islam untuk mengungkapkan kalimah Allah.
“Jadi pada orang bukan Islam yang hendak guna perkataan Allah gunakan lah. Ambo (saya) jumpa orang Cina dan dia menyebut Masya-Allah, tidak ada apa kesalahan.
“Cuma yang kita duk (asyik) sebut ni di Malaysia ada Bible yang perkataan di situ terdapat perkataan Allah, hok (yang) itu kita marah. Terjemahan God dalam bahasa Melayu adalah tuhan, manakala Lord pula adalah bagi nama besar-besar bukannya Allah," katanya.

Tiada ulasan: