ALOR SETAR 19 Feb. - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak tidak sepatutnya membuat tuduhan melulu tanpa mendengar rintihan kakitangan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) yang mendakwa dianiaya dan dinafikan kebajikan mereka.
Seorang pensyarah Kuin, Mohd. Farid Alias berkata, seluruh kakitangan kolej universiti itu kesal atas dakwaan Azizan bahawa mereka yang memperjuangkan hak dan kebajikan pekerja sebagai ejen UMNO, sedangkan beliau tidak mempunyai sebarang bukti kukuh tentangnya.
Katanya, sebagai seorang Menteri Besar dan Pengerusi Lembaga Pengarah Kuin, Azizan sepatutnya bersikap terbuka dengan menubuhkan satu jawatankuasa siasatan untuk mengenal pasti permasalahan yang dihadapi kakitangan institusi itu.
"Sebagai seorang yang berkuasa di negeri ini, Menteri Besar hendaklah bersikap adil bagi memastikan pentadbiran yang berslogan Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua dilaksanakan secara menyeluruh supaya tiada rakyat teraniaya disebabkan kerajaan negeri terlepas pandang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai mewakili kakitangan Kuin selepas Penolong Pendaftar Kanan kolej universiti itu, Muhammad Azki Hafizi Ibrahim menyerahkan memorandum bantahan dan tuntutan kepada Menteri Besar di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Pada 13 Februari lepas, Azizan dilaporkan enggan mengambil tahu isu-isu yang melibatkan Kuin termasuk pemalsuan minit mesyuarat kerana beranggapan perkara itu ditimbulkan oleh ejen UMNO.
Azizan mendakwa isu itu sebenarnya dicetuskan oleh ejen-ejen UMNO yang bekerja di dalam Kuin dan meminta mana-mana pekerja yang mempunyai masalah dengan kolej universiti itu supaya meninggalkan kampus berkenaan dan bekerja di tempat lain.
Sebelum itu, pada 6 Februari lalu, sekumpulan kakitangan membuat laporan kepada Jabatan Tenaga Kerja bagi mendapatkan hak mereka selepas usaha memperjuangkan isu tersebut termasuk melibatkan kegagalan menjelaskan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), potongan Lembaga Tabung Haji dan ansuran bank walaupun gaji dipotong mendapat reaksi mengecewakan daripada pihak terlibat.
Mohd. Farid berkata, mereka menyerahkan memorandum bantahan kepada Azizan bagi meminta beliau lebih profesional dalam menangani kemelut di Kuin yang telah berlarutan sejak lebih setahun lalu.
Katanya, Azizan tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan-kenyataan seperti menuduh kakitangan yang menggunakan saluran betul menerusi Jabatan Tenaga Kerja untuk menuntut kebajikan yang diabaikan sebagai ejen UMNO.
"Beliau juga tidak sewajarnya berkata tidak mahu mengambil tahu terhadap permasalahan di Kuin dan meminta kakitangan yang berani bersuara meninggalkan Kuin.
"Sepatutnya beliau bertindak lebih profesional sebagai orang tengah bagi mengkaji, menyiasat dan menyelesaikan masalah dalam Kuin, bukan mengheret kakitangan ke dalam politik," katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi kakitangan Kuin, Sajiah Yakob berkata, dia kesal dengan kenyataan Azizan yang meminta pekerja yang mempunyai masalah dengan kolej universiti itu supaya meninggalkan kampus tersebut dan bekerja di tempat lain kerana mereka mempunyai harga diri.
Pensyarah yang telah berkhidmat selama 11 tahun bersama Kuin itu meminta Azizan memberikan penekanan terhadap isu yang dibangkitkan oleh kakitangan kerana kebajikan pekerja perlu menjadi keutamaan mana-mana organisasi.
"Kami ada harga diri. Kalau enam bulan gaji sudah tertunggak, kami pun tidak boleh berkerja dengan baik. Kita ini manusia, bukan boleh dicampak ke sana ke mari sesuka hati," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, beliau kesal dan sedih dengan nasib kakitangan Kuin yang tertindas sejak pakatan pembangkang mengambil alih pentadbiran kolej universiti itu pada 2008.
Katanya, BN berjanji akan cuba menyelesaikan masalah tersebut jika berjaya menawan pentadbiran negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) .
"Dulu masa kita tadbir tidak pernah berlaku perkara-perkara seperti yang terjadi sekarang dan saya rasa isu ini terjadi disebabkan kerajaan Pas Kedah tidak mampu menguruskan Kuin dengan baik.
"Kita simpati dengan kakitangan Kuin dan jika BN berjaya merampas kembali negeri ini, kita akan cuba atasi masalah dan berbincang dengan pihak pengurusan kolej berkenaan," katanya ketika ditemui dalam Majlis Tangan Dihulur Kasih Diberi di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Teluk Cengai, Kuala Kedah dekat sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan