27 Februari 2013

Manifesto pembangkang: Siri terbaru janji kosong

SHAH ALAM 25 Feb. - Manifesto pakatan pembangkang yang dilancarkan hari ini untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 disifatkan sebagai siri terbaharu 'janji kosong' yang dirangka khusus oleh parti itu untuk mengaburi mata rakyat.
Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed (gambar) berkata, beliau yakin manifesto itu tidak akan dilaksanakan oleh pakatan pembangkang jika mereka memegang tampuk pentadbiran negara.
Menurutnya, pakatan pembangkang sejak 2008 telah terbukti tidak menunaikan janji manifesto mereka sehingga menyebabkan rakyat daripada pelbagai golongan bangkit menuntut pelbagai janji antaranya meliputi bantuan serta insentif kebajikan rakyat.
''Paling memilukan ialah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sendiri yang mengatakan manifesto itu bukan perjanjian. Malah, kerajaan negeri juga sanggup menentang rakyatnya apabila tuntutan tersebut dibawa ke mahkamah.
''Jadi rakyat harus menilai agenda tersirat di sebalik manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 pakatan pembangkang meskipun mereka menawarkan pelbagai perkara yang dilihat secara kasarnya menarik perhatian seperti menurunkan harga minyak, menghapuskan tol, menghapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan memberi pendidikan tinggi percuma dan sebagainya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas manifesto yang dilancarkan pakatan pembangkang hari ini yang antara lain menawarkan pelbagai janji termasuk melibatkan insentif kewangan dan projek-projek berskala besar selain janji penurunan harga minyak, caj air dan elektrik serta menghapuskan tol.

Tiada ulasan: