25 Februari 2013

Presiden Pas pula sifatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia seperti beri ikan

ALOR SETAR 23 Feb. - Jika Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyamakan pemberian bantuan wang oleh Kerajaan Pusat kepada rakyat seperti memberi makan hampas kelapa kepada ayam dan lembu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula menyifatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) seperti memberi ikan, bukannya pancing kepada penerimanya.
Menurut Presiden Pas itu, pemberian BR1M hanya umpan kerajaan untuk memancing undi rakyat supaya memihak kepada Barisan Nasional (BN).
Katanya lagi, BR1M juga adalah satu tindakan untuk membodohkan rakyat oleh BN menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.
"Pepatah Cina ada mengatakan kalau nak tolong, sila bagi pancing, bukan bagi ikan. Kalau bagi ikan, dia (rakyat) nak ikan lagi. BR1M ini membodohkan rakyat, kita mesti hanya makan umpan, tapi pastikan jangan terkena kail.
"Kita jangan jadi ikan bodoh, bila makan umpan terkena kail," katanya ketika berucap pada Karnival Tahun Baharu Cina di Jalan Putra, di sini semalam.
Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan para pemimpin pakatan pembangkang.
Abdul Hadi menambah, BN mengambil masa selama 55 tahun untuk menunaikan janji kepada rakyat.
"Mereka (BN) cakap pakatan tak boleh buat apa dan ini betul sebab kita tidak berkuasa. Tapi mereka cukup 55 tahun, baru kata janji ditepati," ujarnya.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Abdul Hadi itu berkata, Presiden Pas itu terpaksa mengeluarkan kenyataan yang senada kerana Abdul Hadi takut dengan Mursyidul Am Pas itu.
"Apa sahaja yang Nik Aziz kata, dia (Abdul Hadi) akan sokong sebab ini dan jadi tabiat politik dia dari dulu lagi, dia takut dengan Nik Aziz.
"Kerenah pakatan pembangkang kini dapat dilihat merata-rata. Sekarang ini makin terserlah sikap mereka, jadi rakyat kena nilai sikap sebenar pakatan pembangkang ini," katanya ketika ditemui di hadapan Masjid Zahir, di sini hari ini.

Tiada ulasan: