31 Mac 2013

Calon DAP berlambang ‘bulan’, taksub politik bertunggangkan agama

LANGKAH DAP untuk menggunakan lambang Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) jika parti itu digantung atau dibatalkan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS), tidak ubah umpama seekor serigala memakai kulit kambing untuk menyelamatkan diri.
Bagaimanapun, menurut blog Mummy Rokiah (mummyrokiah.blogspot.com), tiada jaminan bahawa kambing-kambing tersebut tidak dimakan oleh serigala berkenaan apabila keadaannya kembali selamat.
“Di dalam politik tidak ada istilah ‘haram’ yang mutlak kerana jika haram sekalipun ia boleh dihalalkan dengan mengubah ‘packaging’ (bungkusan), jenama atau label. Untuk lebih menyakinkan ditampal dengan label ‘halal’ walaupun kandungannya haram.
“Mereka yang menentang Islam pun boleh memakai sarung, kulit atau jersi parti Islam janji menang pilihan raya, apabila beroleh kuasa kelak golongan inilah yang akan meratah Islam sehingga ke tulang belulang.
“...sekadar renungan cuba kita bayangkan bagaimana poster Karpal (Singh) digantung dengan logo Pas bersebelahannya. Kepada siapakah yang akan kita undi? Kulitnyakah? atau isinyakah?" katanya.
Blog Kluang Diamond (kluangmanexpress.blogspot.com) berpendapat, pembatalan pendaftaran parti bagai pucuk dicita ulam mendatang bagi DAP kerana ia boleh menjadi isu baharu untuk diangkat sebagai kempen PRU-13.
Katanya, DAP yang kononnya terpaksa menggunakan lambang Pas adalah gimik politik untuk menunjukkan bahawa parti itu sangat menghargai parti sekutunya dan lebih mudah untuk mereka menarik pengundi Melayu menyokong Pas walaupun diwakili oleh ahli DAP.
“Adalah lebih mudah untuk DAP meletakkan calonnya menggunakan lambang Pas dengan memperbanyakkan poster-poster Nik Aziz (Mursyidul Am Pas) untuk dijadikan bahan mengelirukan pengundi Melayu.
“Jika sesuatu kawasan mencalonkan MCA dan DAP (menggunakan lambang Pas) sudah pasti ramai Melayu akan undi lambang Pas yang diwakili oleh calon DAP," katanya.
Blog Gunung Mat Cincang (gunungmatcincang.blogspot.com) pula berkata, pucuk pimpinan Pas sekali lagi membelakangi Dewan Ulama parti ketika Presiden dan Mursyidul Amnya menyokong cadangan DAP menggunakan lambang Pas pada PRU-13.
Katanya, ia lebih jelas lagi apabila Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib yang mahukan DAP membuat permohonan terlebih dahulu jika mahu memakai lambang parti itu dalam PRU-13.
Kenyataan itu, katanya, bertentangan dengan kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang awal-awal lagi memberikan kebenaran kepada parti sekutunya itu menggunakan lambang Pas.
“Nampaknya isu membenarkan DAP menggunakan lambang Pas dan isu penggunaan kalimah Allah oleh agama lain oleh Pas, bermakna sudah dua kali Presiden Pas dan Nik Aziz cuba membelakangi Dewan Ulama.
“Harun Taib mula terasa Pas sudah semakin menyisihkan Dewan Ulama dalam membuat sesuatu keputusan... Dewan Ulama mahu dijadikan tunggul kayu mati oleh Pas dan DAP," katanya.
Sementara itu penulis blog propembangkang, Mohd. Sayuti Omar (msomelayu.blogspot.com) pula terkejut dengan keputusan Pas yang membenarkan DAP menggunakan lambang “bulan" untuk bertanding pada PRU-13 dan menganggap ia tindakan tidak wajar.
“Pemberian (lambang bulan kepada DAP) itu akan mengesahkan dakyah sebelum ini mengatakan Pas menjadi kuda tunggang DAP. Mereka (penyokong) tidak akan melihat keserasian dan silaturahim antara DAP dan Pas kuat tetapi nampak ia satu lagi keganjilan perjuangan Pas.
“Sekiranya ini berlaku Pas harus berfikir banyak kali untuk memberi lambang kepada Lim Kit Siang atau DAP. Pas jangan melihat keuntungan daripada satu sisi tetapi lihat implikasi keseluruhannya," katanya.
Sementara itu blog Helen Ang (helenang.wordpress.com) mendakwa, isu ketaksuban terhadap politik yang menunggangi agama bukan hanya wujud dalam Pas tetapi juga DAP.
Penulis ini berkata, jika orang Pas mudah mengkafirkan orang Islam yang tidak menyokong parti itu maka keadaan serupa wujud dalam DAP apabila penyokong-penyokong kuat DAP begitu mudah mengkafirkan orang Cina yang tidak menyokong parti itu atau bersikap pro-BN.
“Kesetiaan kepada DAP disamakan dengan sifat kecinaan. (Mereka) yang menyanggah DAP dituduh sebagai pengkhianat bangsa.
“Gejala sembahyang dua imam pun kian menular di kalangan masyarakat Cina. Akan tetapi berbanding masyarakat Melayu, perpecahan golongan Cina menampakkan penyakit sosial yang lebih memudaratkan kerana faktor ketidakseimbangan yang tenat," katanya.
Selain itu, katanya, golongan minoriti Cina yang anti-DAP akan “diserang" habis-habisan sehinggakan mereka yang tidak mampu bertahan terpaksa menyerah kalah dan menyertai parti itu.

Tiada ulasan: