10 Mac 2013

Cukup-cukuplah Nik Aziz...

DI depan Hotel Renaissance, Kota Bharu minggu lepas ketika penulis leka menunggu seorang rakan peguam, terpandanglah akan beberapa orang sedang meletak kereta berdekatan jalan raya di situ.
Waktu itu dalam pukul 2 petang dan hujan lebat. Khabarnya, sudah beberapa hari Kota Bharu dirahmati hujan.
Cuma yang hendak dikongsi penulis, meskipun dalam hujan diselangi petir, beberapa pemilik kenderaan yang meletak kereta dekat situ sanggup berkuyup untuk menolak syiling perlahan-lahan ke dalam lubang 'meter' bayaran.
Terkesima sebentar penulis. Ditanya penulis kepada rakan peguam yang tiba kemudiannya akan insiden tadi. Memang bagus, penguatkuasaan majlis perbandarannya begitu ketat, kata penulis lagi.
Namun, dijawab oleh rakan: "Pantang lepa kalau tak dibayar, kena kompaunlah...silap hari bulan, terlebih masa meter...tayar pula dirantai," katanya.
Cerita dengan rakan peguam penulis itu tak habis di situ. Berdasarkan perbualan dengan ipar duai penulis di Kota Bharu dan Pasir Mas, rupa-rupanya 'memang begitulah' keadaan Kota Bharu hari ini. Masalah meletak kereta antara topik hangat bualan kedai kopi.
Di Kota Bharu, di mana-mana ada ruang kosong, di situ 'naik' meter. Kalau pergi ke Hospital Kota Bharu, begitulah keadaannya, sehinggakan keluarga pesakit pun naik 'renyah' dengan penguatkuasaan ketat meter berbayar ini.
Bukan setakat masalah letak kereta sahaja. Di pasar-pasar borong, pasar malam dan pasar besar termasuklah Pasar Siti Khadijah, peniaga yang sebahagian besarnya wanita turut dikusutkan fikiran dengan bayaran 'hasil kepala bakul'.
Mereka, peniaga dikenakan bayaran 'kepala bakul' untuk setiap petak niaga. Satu petak lebih kurang besar 8" x 8", diwajibkan bayar antara RM15 hingga RM30 untuk sehari. Kalau peniaga terbabit tidak keluar berniaga, dia akan dikenakan 'double atau triple'. Malah, kalau guna lampu pula, setiap biji lampu dicaj RM4. Dulu, era sebelum kerajaan Pas pada 1990, tak terdengar pula hasil 'kepala bakul'.
Baru-baru ini, ketika tok guru Nik Abdul Aziz (Nik Mat) setiba sahaja dari Mekah dan mengeluarkan komen 'menghina' penerima-penerima BR1M atau Bantuan Rakyat 1Malaysia, tidak lama kemudian pula beliau mengumumkan Jalan Kebun Sultan secara rasmi diisytihar sebagai Chinatown. Soal bertapaknya lokasi Chinatown atau bandar Cina dalam Kota Bharu barangkali bukan satu isu.
Cuma, yang timbul tanda-tanya adalah kedudukan peniaga Melayu. Semasa ini dikatakan peniaga-peniaga tempatan yang tak jauh dari Jalan Pantai Timur telah dipindahkan ke tepi sungai berdekatan Tesco - yang merupakan laluan angin ribut.
Dan rungutan 'orang lain dianakemaskan' bertebarlah. Dikatakan dalam kalangan 'mereka' terlepas daripada dikompaun walaupun gerai 'makan' jalan besar di Jalan Kebun Sultan. Akibatnya, 7 malam masih sesak dekat situ.
Sempat juga penulis ajukan berita-berita kurang enak ini kepada Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Kelantan, Datuk Fared Abdul Ghani, 43. Beliau tidak pula menafikannya. Baginya, semua insiden yang dikhabarkan penulis kepadanya, perlukan penambahbaikan daripada kerajaan Pas negeri.
"Saya kira rakyat Kelantan ketika ini sedang menunggu perubahan seperti mana masyarakat di beberapa negeri lain," katanya.
Perubahan yang macam mana? Maksud Fared, sebahagian besar penduduk Kelantan dambakan kerajaan yang baru selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 ini.
Beliau yang juga penaung Persatuan Peniaga-peniaga Kecil Kota Bharu melontarkan persoalan mengenai usaha kerajaan Pas Kelantan yang beria-ia mahu menyiapkan 'lebuh raya rakyat' 163 kilometer dari Kota Bharu ke Kuala Krai.
"Kenapa kerajaan Pas ini tak cari inisiatif sendiri nak bina jambatan, sebaliknya kutip derma dan sumbangan orang ramai. Apa beza dengan BR1M? Duit BR1M daripada kerajaan kepada rakyat, tapi 'lebuh raya rakyat' ini kutip duit daripada rakyat," katanya.
Mengenai royalti minyak yang juga beria-ia sangat ingin dituntut oleh Nik Abdul Aziz, Fared menanyakan balik: "Adakah royalti ini benar-benar akan sampai ke tangan rakyat atau untuk kepentingan politik Pas sebagai dana pilihan raya."
Dan kalau UMNO benar-benar mampu kembali menerajui Kelantan dalam pilihan raya nanti, Fared mengharapkan parti itu dapat mewujudkan Majlis Syura Agama yang dianggotai guru sekolah pondok. Ini penting untuk bertindak sebagai penasihat kerajaan negeri.
"Setiap kali hendak buat keputusan, majlis syura ini akan dijadikan rujukan supaya kerajaan negeri dan rakyat ada sentuhan bersama," katanya.
Barangkali benar penilaian Fared. Hal ini kerana penulis difahamkan, kira-kira 70 peratus guru pondok tidak lagi cenderung 'mengikut' Nik Abdul Aziz. Ini ekoran 'tindak tanduk semacam' Mursyidul Am Pas itu dalam isu-isu mutakhir kebelakangan ini.
Antaranya, Pas masih bersahabat dengan DAP walaupun 'diterjah' macam-macam oleh DAP, pendirian Pas Pusat dalam penggunaan kalimah Allah dan ungkapan 'menghina' BR1M.
Malah, kalau dilihat pun, infrastruktur sekolah-sekolah pondok di Kelantan masih lagi daif. Masih ada sekolah pondok menggunakan bekalan air perigi.
Sebab itu perkara utama yang perlu dititikberatkan UMNO seandainya diterima rakyat Kelantan kelak adalah sentuhannya terhadap masyarakat negeri itu. Ini lebih-lebih lagi apabila bersangkut paut soal kematian penduduk, sakit demam, kenduri-kendara dan sembang di kedai kopi.
Kalau soal kematian, seelok-eloknya sampailah awal ke rumah si mati. Waktu mengangkat keranda jenazah, janganlah pula menjawab panggilan telefon.
Kedai kopi perlu disinggah pemimpin. Sapalah semua yang ada di situ. Lagi elok belanja sekali mereka. Bukannya banyak, tak lebih RM100 pun. Kalau kenduri-kendara, jangan sekadar hantar wakil. Kena turun selaku ketua pemuda dan wakil rakyat.
Kedai kopi merupakan platform terbaik berkempen. Orang kedai kopi sudah ketara minat membaca surat khabar. Jumpa dan berboraklah dengan mereka.
Rakyat Kelantan menunggu untuk perubahan. Perubahan untuk kemakmuran yang terancang untuk negeri mereka.
Menyangkal dakwaan seorang Exco NGO dan Sukan Kelantan tempoh hari yang menyifatkan rakyat Kelantan suka berhijrah, suka berjalan dan duduk di luar Kelantan: jawapan itu sungguh lucu sekali.
Fakta sebenarnya: Penghijrahan disebabkan tidak ada pekerjaan di Kelantan. Banyak kilang sudah ditutup dalam beberapa tahun ini.
Rakyat Kelantan tentu maklum, Marruli, kilang sarung tangan getah sudah ditutup. Ini belum termasuk Estern Garmen (kilang baju berjenama), kilang Canon (barangan elektronik), Putpman (buat baju sejuk dan baju kanak-kanak berjenama), Roma (kilang tayar), Rowako (operasi kilang dikecilkan dan dibuka di Bangkok) serta terbaru kilang ditutup, Borneo Technical.
Dan banyak sekali kilang kecil ditutup sehingga melibatkan beribu-ribu rakyat. Ini terutama membabitkan orang muda lelaki dan wanita yang hilang pekerjaan. Mereka terpaksa berhijrah meninggalkan ibu bapa dan anak isteri.
Cukup-cukuplah tu Nik Abdul Aziz. Bo la wei kerajaan Pas Kelantan!

Tiada ulasan: