MELAKA 19 Mac - Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib disifatkan keterlaluan dan tidak jujur kerana mempolitikkan isu syahid anggota keselamatan yang terkorban di Lahad Datu, Sabah apabila mendakwa kematian mereka yang gugur sebagai 'syahid dunia'.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, kenyataan tersebut tidak seharusnya dikeluarkan oleh seseorang yang dilihat mempunyai pengetahuan agama yang luas.
Menurutnya, tindakan Harun itu dilihat cuba mengelirukan rakyat bahkan seolah- olah mengetepikan keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (Jawatankuasa Fatwa) yang bersidang 6 Mac lalu memutuskan anggota keselamatan yang terkorban tergolong dalam 'syahid akhirat'.
"Pandangan-pandangan yang mengelirukan ini tidak patut datang daripada orang yang dianggap alim kerana hakikatnya orang yang mati kerana mempertahankan negara dianggap mati syahid.
"Apa yang dia maksudkan syahid dunia dan syahid akhirat, adakah dia memaksudkan mereka yang terkorban ini hanya mendapat faedah dunia tetapi tidak di akhirat," katanya pada sidang akhbar selepas majlis Perjumpaan Bersama Saudara Muslim Negeri Melaka di Masjid Al-Azim, Bukit Palah di sini hari ini.
Mengulas pandangan Harun itu, beliau berkata, pandangan Harun itu tidak ikhlas dan jujur serta tidak patut dikeluarkan oleh seorang ulama.
Katanya, tindakan Harun itu hanya memperlihatkan beliau tidak langsung mempunyai perasaan untuk menghargai anggota keselamatan negara yang telah terkorban.
"Mereka terlalu berkiblatkan DAP yang tidak berpegang pada al-Quran dan hadis sehingga tidak dapat membezakan agama malah sanggup dipolitikkan secara berlebih-lebihan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan