31 Mac 2013

Mengurus ekonomi negara bukan mudah seperti berceramah politik

SATU persatu negara Kesatuan Eropah (EU) mengalami kegawatan ekonomi dan di ambang kemuflisan. Selepas Greece, Itali, Portugal dan Sepanyol, Cyprus adalah mangsa terbaharu krisis hutang Eropah yang berlanjutan hampir empat tahun. Krisis terbaharu ini menandakan bahawa ekonomi negara-negara EU masih belum pulih sepenuhnya.
Tempias krisis hutang EU amat dirasai oleh negara Cyprus sejak tahun lalu lagi. Saiz sektor perbankan Cyprus terlalu besar berbanding jumlah penduduknya. Tambahan lagi saiz sektor perbankan Cyprus lapan kali ganda berbanding keluaran ekonominya. Sektor perbankan Cyprus tidak berkeupayaan untuk kekal mampan dan seterusnya menampung kehendak para pendeposit yang kaya-raya yang rata-ratanya dari negara Rusia.
Bagi menyelamatkan sektor perbankan Cyprus, pakej penyelamat yang berjumlah AS$13 bilion diberikan oleh peminjam-peminjam antarabangsa. Sebelum ini ada cadangan untuk mengenakan cukai terhadap para pendeposit namun selepas persetujuan terhadap pakej penyelamat dalam kalangan pihak-pihak berkenaan, cadangan mengenakan cukai atau levi berkubur sama sekali.
Popular Bank of Cyprus atau lebih dikenali sebagai Bank Laiki, salah sebuah bank terbesar di Cyprus akan ditutup dan dibahagikan kepada dua kategori, iaitu "bank baik", dan "bank teruk". Bagi kategori "bank baik", ia akan diserapkan ke dalam Bank of Cyprus. Bank of Cyprus akan distruktur semula agar mencapai kecukupan modal pada paras sembilan peratus.
Satu perkara yang cukup penting dalam sektor perbankan adalah nisbah kecukupan modal yang tinggi bagi membolehkan sektor perbankan mempunyai kecairan yang tinggi dan seterusnya kekal kukuh.
Bagi pendeposit bank di bawah 100,000 euro mereka tidak akan mengalami sebarang kerugian, manakala pendeposit yang melebihi 100,000 euro akan dikenakan "tindakan". Namun, sejauh manakah kerugian yang bakal mereka tanggung masih belum ditentukan oleh pihak berkuasa Cyprus.
Disebabkan krisis ini, Cyprus terpaksa menutup salah satu bank terbesar di negara tersebut, iaitu Bank Laiki dan menstruktur semula Bank of Cyprus. Mogok dan demonstrasi dalam kalangan pekerja-pekerja bank berlaku secara besar-besaran, manakala rakyatnya hidup dalam keadaan tidak menentu. Salah satu persoalan utama adalah wajarkah Cyprus kekal sebagai sebahagian negara EU?
Ada yang berpendapat, Cyprus wajar menggunakan kembali wangnya dan bukannya euro. Keputusan sama ada untuk mengekalkan euro dan tetap berada dalam EU merupakan satu keputusan yang memberi kesan jangka masa panjang kepada negara Cyprus.
Krisis sektor perbankan Cyprus memberi satu lagi iktibar besar kepada ahli-ahli politik dan pemimpin negara betapa sektor perbankan amat penting bagi mana-mana negara sekali pun. Bukan mudah untuk mengurus ekonomi berbanding memberi ceramah politik kepada rakyat dengan mengkritik semberono tanpa cadangan membina.
Mengurus ekonomi negara memerlukan kebijaksanaan dalam bidang pengurusan ekonomi dan kewangan. Seorang pemimpin yang mahir dalam mengurus dan mentadbir urus ekonomi negara adalah dalam kalangan yang mempunyai latar belakang ekonomi yang hebat di samping mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan ekonomi negara.
Pemimpin yang pernah diuji dengan pelbagai krisis ekonomi dan dan berjaya membawa keluar negaranya daripada krisis ekonomi adalah satu contoh pemimpin yang mampu dan berjaya membawa negaranya ke landasan kemajuan ekonomi yang lebih mampan.
Di Malaysia telah teruji terdapat pemimpin yang berkeupayaan mengurus dan mentadbir urus ekonomi meskipun semasa krisis ekonomi Asia pada tahun 1997/1998 dan krisis hutang Amerika Syarikat (AS) 2008 dan krisis hutang Eropah yang masih melanda dunia, kini. Pokok pangkalnya, apakah strategi terbaik untuk mengharungi setiap krisis ekonomi?
Sememangnya semasa krisis ekonomi, pelbagai nasihat dari dalam dan luar akan cuba membantu kepimpinan tertinggi negara, namun nasihat manakah yang terbaik dan sejauh manakah kepimpinan tertinggi sesebuah negara memahami sepenuhnya sesuatu krisis berkenaan agar dapat mengharungi krisis ekonomi tersebut dengan jayanya.
Umpamanya, krisis ekonomi Asia tidak boleh disamakan dengan krisis hutang Eropah dan AS. Situasinya berbeza dan sudah tentu tindakan yang diambil juga berbeza. Kepimpinan tertinggi negara perlu membuat keputusan dengan pantas tetapi tepat dan tidak mudah dipengaruhi oleh pendapat yang boleh membahayakan kedudukan ekonomi negara.
Pada masa sama, pemimpin tertinggi negara perlu mengetahui dan mengenali siapakah sahabat sebenar beliau ketika krisis ekonomi melanda. Sahabat sejati ini merangkumi individu yang rapat dengan beliau dan negara-negara yang berdagang dengan negaranya.
Pemimpin tersebut perlu membuat keputusan sendiri selepas memahami sepenuhnya bagaimanakah krisis ekonomi tersebut boleh berlaku dan pada masa sama mengenali sahabat sebenar beliau ketika kesusahan agar mudah mendapatkan bantuan tanpa adanya helah untuk "menikam belakang" beliau.
Ini yang terjadi ketika krisis ekonomi Asia 1997/98. Diberitakan bahawa sahabat sejati Malaysia adalah negara China dan Jepun, manakala negara-negara Eropah dan AS tidak boleh diharap ketika Malaysia mengalami krisis ekonomi.
Negara China dan Jepunlah yang telah membantu Malaysia keluar daripada krisis ekonomi tersebut, manakala negara-negara Barat tidak membantu kecuali memberi cadangan untuk memburukkan lagi keadaan ekonomi negara agar mereka boleh mengambil alih syarikat-syarikat tempatan.
Yakinilah, Malaysia sentiasa diimpi-impikan oleh anasir-anasir luar yang sentiasa menunggu peluang untuk mencampuri urusan ekonomi negara.
Sebab itulah, mengurus ekonomi negara bukanlah mudah dan ia memerlukan barisan kepimpinan yang sememangnya sudah teruji jitu, berpengalaman luas dan ikhlas membela nasib rakyat dan sentiasa mempertahankan kedaulatan negara.

Tiada ulasan: