
NAJIB Tun Razak bersama sebahagian
daripada 15,000 orang ramai berjalan kaki sepanjang lima kilometer dan
berbasikal sejauh 12 kilometer dalam acara Jom Ceria Bersama Perdana
Menteri anjuran Yayasan Rakyat 1Malaysia dan Perbadanan Putrajaya di
Putrajaya, semalam. - UTUSAN/ZAKI AMIRUDDIN
*****
*****
Perdana Menteri turut diiringi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Dr. Aseh Che Mat serta beberapa orang selebriti tempatan dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam program itu.
Peserta program anjuran Yayasan Rakyat 1Malaysia bersama PPj itu dilepaskan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Najib dalam ucapannya menyeru rakyat negara ini agar mengubah gaya hidup ke arah yang lebih sihat bagi mengelak dijangkiti pelbagai jenis penyakit berisiko tinggi.
Beliau berkata, ini kerana majoriti masyarakat kini dilihat semakin tidak mementingkan aspek riadah dan sukan dalam kehidupan seharian.
"Ini bukan momokan tetapi realiti pada hari ini. Saya tahu berjam-jam mereka habiskan masa di depan skrin komputer, tablet dan telefon pintar.
"Ini kerana gaya hidup sudah berubah dan sebab itu kita berdepan dengan masalah obesiti, kencing manis, darah tinggi dan sebagainya," katanya.
Mengulas lanjut Najib berkata, gaya hidup seperti itulah yang menyebabkan ada kalangan generasi hari ini tidak pernah melihat dan mengenali pokok buah-buahan secara lebih dekat.
"Hari ini masyarakat kita di bandar ada yang belum pernah tengok pokok rambutan, jangan cakap nak panjat pokok itu.
"Saya kenal pokok rambutan, waktu kecil saya pernah panjat pokok itu tetapi generasi hari ini mereka hanya kenalinya melalui skrin komputer," katanya.
Perdana Menteri turut menggalakkan rakyat negara ini bekerja dalam satu komuniti walaupun nilai individu itu juga penting.
Tetapi beliau menambah, kita tidak mahu masyarakat yang terlalu individualistik kerana ia akan membawa kepada satu keadaan yang terlalu ekstrem.
"Apa yang kita nak adalah individu itu kita bangunkan dan beri peluang supaya dari segi potensinya akan dapat sampai ke tahap optimum.
"Tetapi dari segi nilai dan sikap, mereka juga mementingkan komuniti dan merasakan bahawa boleh menyumbang kepada agama, bangsa dan negara," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan