10 Mac 2013

PRU-13: Mahasiswa perlu bijak

KHAIRY Jamaluddin (berdiri, tengah) yang mewakili Menteri Pertahanan bergambar bersama mahasiswa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) selepas menyampaikan baucar Buku 1Malaysia dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Bestari UPNM, semalam. 
*****
KUALA LUMPUR 7 Mac - Generasi muda khususnya golongan mahasiswa digesa membuat keputusan minda yang bijaksana dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bagi membela masa depan diri, keluarga, bangsa, negara dan agama.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi berkata, mesej itu penting kerana pembangkang kini dilihat cenderung memperguna serta mempengaruhi orang muda untuk menyokong perjuangan mereka melalui ceramah dan ledakan teknologi maklumat.
"Mereka (pembangkang) tahu kira-kira 40 peratus daripada 13.2 juta rakyat negara ini yang layak mengundi terdiri dalam kalangan orang muda, malah sebahagian besarnya baru pertama kali menggunakan kuasa undi masing-masing.
"Oleh itu, golongan muda yang terpelajar seperti anda semua jangan biarkan diri kita dijajah pembangkang sebagaimana yang telah terjadi kepada rakan-rakan anda dalam Perhimpunan Bersih tidak lama dahulu," katanya dalam majlis penyerahan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.
Yang turut hadir, Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Seri Allatif Mohd. Noor dan Timbalan Naib Canselornya, Prof. Madya Dr. Mohamed Fadzil Che Din.
Kira-kira 3,000 pelajar UPNM menerima BB1M yang melibatkan peruntukan hampir RM750,000.
Oleh itu, Zahid berkata, golongan mahasiswa jangan sesekali percaya kepada tohmahan dan fitnah yang dilemparkan pemimpin parti pembangkang terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).
"BN sentiasa mengambil perhatian orang muda terhadap masalah dan masa depan mereka.
"Hal itu dapat dibuktikan menerusi pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), penyediaan pusat pembelajaran, serta peruntukan dana bernilai RM50 juta untuk belia membabitkan diri dalam bidang keusahawanan," katanya.
Zahid meminta golongan muda untuk mempelajari sejarah negara sebagai panduan hidup masa kini dan akan datang.
"Kita boleh ubah kaedah dan sistem pentabdiran negara tetapi belum tentu dapat mengubah kerajaan yang mampu menjanjikan yang lebih baik untuk diri kita semua," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pilihan_Raya/20130308/px_01/PRU-13-Mahasiswa-perlu-bijak#ixzz2N6xhaz7i
© Utusan Melayu (M) Bhd | hwa - 10/3/13

Tiada ulasan: