KOTA BHARU 1 Mac - Antara dua darjat. Begitulah yang dapat disimpulkan daripada sikap Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menganggap UMNO sebagai 'menate' (binatang) tetapi DAP pula dianggap kawan parti Islam itu.
Nik Abdul Aziz mendakwa, tidak salah untuk Pas berkawan dengan DAP kerana mereka mahu memberi nasihat tetapi dalam masa sama, beliau tidak peduli sama ada parti itu menerima pandangan Pas atau tidak.
"Kita berkawan dengan orang jahat boleh, tetapi kawan untuk nasihat, UMNO marah kepada Pas berkawan dengan DAP, (UMNO) kata DAP jahat, tetapi kenapa DAP jahat? Kamu (UMNO) jahat juga.
"Apabila DAP berkawan dengan Pas, insya-Allah Pas akan bagi tahu tentang Islam, syurga begini, neraka begini, dia nak dengar atau tidak mahu dengar peduli apa, yang penting tujuan kita berkawan untuk baiki dia (DAP),'' katanya semasa menyampaikan kuliah Jumaat di hadapan Pejabat Badan Perhubungan Pas negeri di sini hari ini.
Menurutnya, UMNO menuduh DAP jahat tetapi parti orang Melayu itu sendiri sebenarnya yang lebih jahat kerana mengambil pendekatan berteras kebangsaan tetapi menolak Islam.
''Islam mari daripada Allah, mu (orang UMNO) duduk atas bumi ini bumi Allah, bernyawa dengan udara Allah, minum air dengan hak Allah, mu makan beras hak Allah Taala, menate (binatang)," cercanya.
Dalam masa sama, Nik Abdul Aziz turut mengecam Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang didakwanya telah memalukan institusi mufti berikutan kenyataan beliau dalam sebuah akhbar yang menyatakan sikap Pas lebih teruk daripada kafir baru-baru ini.
Beliau dengan keras melabel Harussani sebagai orang mabuk dan tidak sedar diri serta hanya layak digelar 'mufta' iaitu orang tidak pandai yang perlu diberi fatwa kerana kritikannya terhadap Pas yang didakwa Nik Abdul Aziz dibuat tanpa rujukan teliti.
Dakwanya, Harussani merupakan seorang yang bercakap 'tidak betul' dan hanya membaca laporan akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian yang disifatkannya sebagai 'pekeliling UMNO' tetapi tidak mahu membaca Harakah iaitu lidah rasmi Pas.
"Nasib baik dalam Harakah hari ini keluar beberapa jawapan balas kepada kenyataan Harussani termasuk daripada Dr. Mohd Nur Manuty (Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat).
"Mufti apa begini? Ini bukan mufti tapi mufta, mufti isim fa'il, mufta isim maf'ul, mufti maksudnya orang yang beri petua, tapi mufta adalah orang (tak reti) yang diberi petua oleh orang lain, kenyataan (Harussani) burukkan nama mufti sahaja, buruk nama orang kampung, (pakai) kopiah 24 jam tapi bercakap tidak betul," katanya.
Nik Abdul Aziz dalam laman Facebook beliau baru-baru ini telah menasihatkan Harussani supaya lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan dan jangan melampau dalam menunjukkan sokongan beliau kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Beliau dilaporkan kecewa dengan kenyataan Harussani dalam sebuah akhbar yang menyatakan sikap Pas lebih teruk daripada kafir dan meminta Mufti Perak itu merujuk kepada sumber yang sahih sebelum memberi sebarang ulasan mengenai beliau dan pemimpin Pas lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan