10 Mac 2013

Undi adalah rahsia, keamanan suatu realiti!

SEORANG sahabat dari parti pembangkang menjawab dalam khidmat pesanan ringkas (SMS), "Apa masalah kau?" apabila penulis memberi komen berhubung insiden di Lahad Datu kepadanya sebelum itu.
Apa pun apa yang dapat disimpulkan setiap rakyat Malaysia mempunyai pendapat mereka sendiri berhubung sesuatu perkara. Tambahan perkara tersebut memberi faedah kepada parti politik yang disokong oleh mereka.
Namun dalam konteks masa kini menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kita sebagai rakyat Malaysia yang bertuah harus memfokus kepada mengekalkan keamanan yang ada, agar segala status quo kelangsungan hidup harmoni dalam aktiviti ekonomi dan sosial dapat dipertahankan.
Hari ini keamanan dan keharmonian negara cuba diganggu gugat oleh pihak yang menganggap mereka mempunyai hak menuntut sesuatu yang sebenarnya telah lupus ditelan sejarah.
Tugas kita sebagai rakyat yang bertanggungjawab adalah menunaikan amanah kita kepada generasi akan datang untuk mewariskan sebuah negara yang aman dan kekal aman selama-lamanya.
Mungkin ada yang berkata undi adalah rahsia dan mereka akan memilih sebuah Kerajaan Pusat yang mempunyai pemimpin yang bersih daripada rasuah, skandal, moral dan rekod jenayah. Soalnya adakah pemimpin pembangkang terlalu bersih daripada ciri-ciri itu semua?
Hari ini semua itu dipersetankan hanya kerana menganggap memilih pemimpin sama seperti memilih ketua kelas mahupun ketua darjah tanpa mengambil kira pelbagai faktor yang bersifat holistik.
Sebagai rakyat kita perlu peka dengan sejarah, transformasi kerajaan dan iklim ekonomi yang memberangsangkan hingga pemaju di negeri pembangkang boleh menjual rumah mampu milik serendah setengah juta ringgit.
Tidak guna sudah terhantuk baru hendak tengadah apabila dek kerana terlalu ghairah menukar kerajaan akibat termakan hasutan pihak tertentu keamanan yang menjadi aset semasa negara hilang begitu sahaja.
Kita sepatutnya mengambil pengajaran dari fenomena Arab Spring di negara arab yang menyebabkan negara Arab bergelut untuk kembali kepada keamanan yang wujud hasil dari perjuangan pemimpin mereka yang dianggap oleh barat sebagai kejam dan kuku besi.
Soalnya, adakah negara yang menyerang negara lain dan melindungi sebuah kerajaan haram dianggap lebih baik sebenar-benarnya?
Hikmah daripada insiden pencerobohan di Lahad Datu amat luas untuk kita bicarakan. Kini kita sedar pihak mana yang lebih komited menegakkan keamanan dan pihak mana yang tidak kira melihat semua perkara adalah politik. Makan politik, tidur politik, cakap politik hingga orang bunuh orang pun hendak dipolitikkan.
Jelas terbukti apabila ada pemimpin pembangkang yang pantas menuduh pihak lain menjadi dalang sedangkan insiden tersebut masih belum berakhir dan masih dalam krisis. Belum lagi jenazah polis dikebumikan dengan penuh penghormatan komen menjelikkan itu boleh dibuat.
Ibarat kata pujangga orang yang menuding satu jari kepada orang lain sebenarnya menuding empat jari kepada dirinya.
Sikap menuduh melulu kepada pihak UMNO oleh pemimpin pembangkang menunjukkan mereka gagal melihat kepentingan melindungi keamanan hanya menjadi tugas Kerajaan Pusat bukan dirinya sebagai ahli parlimen negara ini.
PRU-13 ini adalah penentu kepada kelangsungan keamanan negara ini hasil percaturan bijak Kerajaan Pusat yang didominasi oleh Barisan Nasional (BN) selama ini. Memang undi itu rahsia tetapi keamanan adalah realiti yang ada di depan mata.
Baru sedikit kita diuji dengan peristiwa di Lahad Datu kita sudah dapat lihat siapa yang benar-benar berjuang dengan diplomasi yang akhirnya berakhir dengan tindakan militari dan kombat yang menggetarkan jiwa.
Bolehkah kita mengharap kepada pemimpin yang mengamuk apabila dituduh bermacam-macam berhubung insiden terbabit sedangkan yang menuduh ialah media asing yang langsung tidak ada kena mengena dengan media tempatan.
Lihatlah, rasailah, nilailah keamanan dan keharmonian negara kita selama ini yang memungkinkan pihak parti pembangkang kita mampu menaiki bas mewah dan treler canggih untuk berkempen.
Sedangkan ada rakyat di kawasan mereka masih makan dan minum dengan air merah dan berkarat hingga terpaksa dimasak.
Memang undi satu rahsia namun jangan sampai kita mengundi dengan emosi hingga keamanan negara tergadai hanya kerana ada pihak yang memberi harapan dan janji yang bombastik tapi disaluti haloba. Fikir dulu sebelum mengundi.
Jangan sampai negara kita senasib dengan negara Arab yang menganggap menukar kerajaan akan menyelesai segala masalah. Sedangkan keamanan yang boleh dijadikan modal mengatasi masalah awal-awal lagi telah tergadai. Terima kasih media baru?

Tiada ulasan: