20 April 2013

Bekas Menteri Kebajikan Masyarakat meninggal dunia

Tan Sri Aishah Ghani
*****
KUALA LUMPUR 19 April - Bekas Menteri Kebajikan Masyarakat, Tan Sri Aishah Ghani (gambar) meninggal dunia akibat sakit tua, paru-paru berair dan kegagalan buah pinggang di sebuah hospital swasta, di sini kira-kira pukul 12.55 tengah hari ini.
Allahyarham Aishah yang berusia 90 tahun menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarganya.
Beliau yang juga wanita pertama dilantik sebagai Senator meninggalkan empat anak, 12 cucu dan lima cicit.
Veteran UMNO itu sebelum ini sudah beberapa kali dimasukkan ke hospital kerana mengalami masalah kesihatan sehingga semakin tenat semalam.
Menurut anak sulungnya, Shairudin Abdul Aziz, 65, sepanjang hayat ibunya, beliau merupakan seorang yang tegas, mementingkan ketelitian dalam pelbagai perkara serta mengamalkan nilai orang lama dalam mendidik anak-anak.
"Malah, arwah mempunyai semangat yang berkobar-kobar dalam pelbagai perkara termasuk dalam arena politik," katanya ketika ditemui di kediamannya di Jalan Bukit Ledang, Bangsar, di sini hari ini.
Jenazah Allahyarham disembahyangkan di rumahnya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur kira-kira pukul 6 petang ini.
Turut memberikan penghormatan terakhir kepada arwah di kediamannya ialah Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz.
Tambah Shairudin, meskipun sedang dirawat di hospital, arwah ibunya tetap bersemangat meneruskan perjuangan politik bersama UMNO.
"Politik memberi makna yang begitu mendalam kepada arwah, malah beliau pernah menyebut untuk pergi mengundi menaiki bas dalam pilihan raya umum akan datang.
"Malah, masih segar dalam ingatan saya beliau pernah menyifatkan politik umpama candu yang tidak dapat dipisahkan sehingga hujung hayatnya," katanya.
Aishah juga merupakan wanita pertama dari Malaysia ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan dilantik menjadi Menteri Kebajikan Masyarakat dari 1973 hingga 1984.

Tiada ulasan: