27 April 2013

Hudud, pil kuda, Pas dan cara kempen Anwar

ISU hudud terus menjadi sajian utama Pas setiap kali kempen pilihan raya umum, dan untuk sekian kalinya isu tersebut turut dimainkan oleh para pemimpin Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini bagi meraih sokongan undi umat Islam.
Bak kata blog Malay Delima (malaydelima.blogspot.com), bagaimana Pas dapat merealisasikan harapannya jika mereka cuma bertanding di 73 kerusi Parlimen dan hanya 12 kerusi sahaja dikategorikan “putih", sekali gus menyukarkan parti itu untuk mengubah Perlembagaan negara, seterusnya merintis pelaksanaan hudud.
Pada masa yang sama, DAP walaupun sudi untuk menggunakan lambang bulan sebagai menggantikan roket jika parti itu diharamkan oleh Pendaftar Pertubuhan tetapi tidak bermakna mereka menerima dasar Pas tersebut.
“Dari satu sudut, jika dilihat pada kenyataan tegas Dr. Haron Din (Timbalan Mursyidul Am Pas), ia seperti memberi bayangan keinginan tersirat Pas untuk mengetepikan peranan DAP seandainya PRU-13 dikuasai oleh pakatan pembangkang.
“Malah ada kemungkinan juga wujud niat tersirat yang lain di mana Pas akan menerajang keluar DAP daripada pakatan pembangkang seandainya perjuangan melaksanakan hudud Pas terus dihalang oleh DAP, senario ini nampak mustahil tapi logik," katanya.
Katanya, jika andaian ini ada kebenarannya, pakatan pembangkang tidak akan kekal lama sebaliknya semakin haru-biru dan bercelaru yang akhirnya membawa kebinasaan kepada negara jika mereka diberi peluang memerintah.
Blog Bumiyang (bumiyang.blogspot.com) pula dengan tegas menganggap isu hudud yang dimainkan oleh Pas merupakan pembohongan terbesar para pemimpin parti itu yang konon bertaraf ulama yang tidak boleh diderhakai.
Ini kerana, katanya, soal pelaksanaan hudud tidak pernah dipersetujui oleh pucuk pimpinan PKR dan DAP manakala Pas sendiri tidak mampu untuk membentuk kerajaan sendiri tanpa sokongan kedua-dua parti berkenaan.
“Jadi inikah yang dikatakan Pas menipu untuk pilihan raya ini dibolehkan demi untuk memenangi undi? Tak tahulah...
“Tapi bagi penulis apa guna berjanji jika kita tahu ia tidak boleh dilaksanakan. Tidakkah itu menipu namanya?" tegasnya.
Hambali Abd. Latiff (hambali1.blogspot.com) pula menganggap kenyataan terbuka Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tentang wujudnya calon-calon pengedar pil kuda serta penyokong Karl Marx sebagai kenyataan ‘mencari pasal’ dengan rakan sekutunya terutama PKR.
“Apa akan jadi kalau calon ‘edar pil kuda’ itu menang. Apakah Pas akan menyisihkan mereka kerana tidak layak untuk menjadi ‘rakan seperjuangan’? Dan sekiranya menerima mereka, apakah Pas tidak merasa berdosa?"
Katanya, jika dakwaan Abdul Hadi itu benar maka calon Pas bagi Parlimen Marang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang itu sewajarnya dipanggil pihak polis bagi memberikan penjelasan mengenainya.
Blog Semut Hitam (semuthitam80.blogspot.com) pula berkata, kenyataan Abdul Hadi itu jelas menunjukkan bahawa Pas tidak berpuas hati dengan calon-calon rakan sekutunya khususnya daripada PKR kerana meletakkan calon-calon terlibat jenayah dan menyokong perjuangan komunis.
Bagaimanapun, blog ini menganggap kenyataan Abdul Hadi itu semata-mata mahu menutup kelemahan Pas dan PKR yang gagal mencari jalan penyelesaian berhubung isu pertindihan kerusi di beberapa kawasan.
“Hakikatnya, Hadi sekadar nak menutup pekung di dada sahaja. Dia dah tak mampu nak jelaskan kepada rakyat mahupun ahli sendiri mengenai perkara sebenar.
“Jadi, wajarlah rakyat yang berada di seluruh negara merujuk semula kepada apa yang diperkatakan oleh Hadi ini. Kita semua kena ingat. Calon PKR semuanya tak guna belaka!" katanya.
Sementara itu blog Jokiden (kitopunyo.blogspot.com) pula berkata, sepatutnya Datuk Seri Anwar Ibrahim berhenti memainkan sentimen kebencian terhadap pemimpin kerajaan ketika kempen PRU-13 sedang berjalan kerana kaedah tersebut sudah tidak lagi mampu meyakini rakyat.
Ini kerana katanya, BN tidak lagi berdiam diri dengan serangan tohmahan dan fitnah yang dimainkan beliau sejak dipecat daripada kerajaan dahulu kerana beliau sendiri mempunyai rekod moral yang bukanlah bersih, dan jika didedahkan mampu menggoncang kedudukannya sendiri.
“Kusut masai, berserabut dan kelihatan tidak bermaya, Anwar ternyata sudah tidak mampu lagi menanggung segala beban yang beliau sendiri timbulkan. Rakan-rakan juga nampaknya sudah tidak dapat membantu lagi.
“Anwar mesti faham dalam politik hari ini, jika dia baling batu, orang akan baling semula. Jika dia fitnah, orang akan fitnah balik. Jika dia mencaci dan maki hamun, orang juga akan mencaci dan maki hamun dia. Jika dia menghina semua orang, orang akan hina dia balik," katanya.
Katanya, semua budaya tidak sihat dalam politik negara ini dimulakan oleh pihak pembangkang baik PKR, DAP apatah lagi Pas sehinggakan suasana politik menjadi haru-biru.
“Malangnya Anwar selalu terlupa ayat yang dia suka sebut iaitu rakyat bukan lagi bodoh. Rakyat sudah cerdik. Jadi dengan adanya pendedahan media massa dan media sosial, rakyat semakin dapat menilai.
“Betul UMNO/BN ada kelemahannya namun keburukan yang dibawa oleh pakatan adalah lebih besar daripada keburukan yang kononnya ada dalam kalangan BN," katanya.

Tiada ulasan: