ALOR GAJAH 1 April - Pengerusi Gagasan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Rahim Thamby Chik mendedahkan rancangan pakatan pembangkang yang akan menawarkan ratusan ribu ringgit kepada pemimpin UMNO yang tidak terpilih untuk bertanding Pilihan Raya Umum Ke-13 atas tiket pembangkang.
Menurutnya, strategi kotor itu adalah langkah terakhir pembangkang untuk menghancurkan UMNO dan menyekat Barisan Nasional (BN) daripada menang dengan dua pertiga dalam pilihan raya itu nanti.
''Saya mendapat maklumat pembangkang telah menyediakan peruntukan besar untuk ditawarkan kepada pemimpin UMNO yang tersenarai sebagai calon tetapi tidak terpilih untuk bertanding.
''Katakan satu bahagian itu menghantar tiga nama dan hanya satu yang terpilih, maka dua lagi calon yang tidak terpilih akan menjadi sasaran pembangkang untuk ditawarkan ratusan ribu ringgit bagi bertanding mewakili mereka," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mini Orkestra dan Bilik Terapi Anak-Anak Istimewa di Sekolah Kebangsaan Khas Kuala Linggi di Kuala Sungai Baru di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Rahim berkata, pembangkang akan memberi fokus kepada calon-calon UMNO yang bertanding bagi kerusi Parlimen di seluruh negara.
Sehubungan itu, beliau meminta pemimpin UMNO di peringkat bahagian tidak terpedaya dan terpengaruh dengan tawaran ratusan ribu ringgit untuk bertanding atas tiket pembangkang.
Beliau menegaskan, semua pihak harus mengambil iktibar daripada pilihan raya 2008 dan tsunami politik tidak seharusnya berulang semula dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.
''Ahli UMNO sudah berikrar akan berdiri teguh dan memperjuangkan UMNO. Jangan sesekali kita berpaling tadah hanya kerana mahu mengejar wang ringgit untuk kepentingan diri sendiri," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan