KOTA KINABALU 2 April - "Naluri wanita kita bukan pengkhianat."
Itulah jawapan yang diberikan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil secara spontan ketika ditanya mengenai kesetiaan pemimpin Wanita Barisan Nasional (BN) sekiranya mereka tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum akan datang.
Menurutnya, Wanita BN selama ini menunjukkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada kerajaan.
Oleh sebab itu juga, beliau yakin sebagai sayap parti kerajaan, mereka akan terus menjadi jentera penggerak penting pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
"Jadi saya hendak minta kepada semua, jadi macam saya secara sukarela mengundurkan diri daripada bertanding.
"Yang tidak ada rezeki untuk bertanding supaya terus memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada BN dan jangan kita biarkan anasir-anasir daripada pembangkang," katanya pada sidang akhbar selepas melawat mangsa-mangsa kebakaran Kampung Numbak di Dewan Serbaguna Likas di sini hari ini..
Yang turut hadir, Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Armani Mahiruddin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Jainab Ahmad dan Ketua UMNO Sepanggar, Datuk Jumat Idris.
Semalam, Pengerusi Gagasan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Rahim Tamby Chik mendedahkan rancangan pembangkang yang akan menawarkan ratusan ribu ringgit kepada pemimpin UMNO yang tidak terpilih pada Pilihan Raya Umum akan datang.
Pada majlis itu, Shahrizat yang juga Pengerusi Yayasan Kebajikan Negara menyampaikan sumbangan berjumlah RM50,000 yang akan diagihkan kepada kira-kira 500 mangsa yang terjejas akibat kebakaran di kampung berkenaan baru-baru ini.
Pada masa sama, beliau menggesa mereka yang tidak dicalonkan pada pilihan raya kali ini agar mengekalkan keteguhan iman dan kembali kepada perjuangan asal sebagai orang BN.
"Kepada mereka yang tidak terpilih jangan menjadi mangsa kepada 'projek khas' pembangkang yang akan meminang, melamar dengan wang ringgit dan juga pelbagai janji-janji yang mereka tidak akan tepati," jelasnya.
Menurut Shahrizat, Wanita BN sememangnya sentiasa berpegang teguh kepada semangat perjuangan BN dan menaruh kepercayaan yang tinggi terhadap misi dan visi yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membangunkan negara dan membantu rakyat.
Mengulas mengenai calon Wanita dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, Shahrizat memberitahu, sebagai Ketua Wanita UMNO, beliau telah berusaha keras bagi memastikan lebih ramai calon wanita diketengahkan.
Bagaimanapun, katanya, Wanita juga menerima apa sahaja keputusan yang dibuat pucuk pimpinan dan beliau percaya calon-calon wanita dalam parti komponen BN akan mendapat peratusan yang munasabah.
"Nama-nama itu telah pun saya serahkan kepada Perdana Menteri dan saya telah berjumpa Perdana Menteri Rabu lalu dalam perbincangan yang agak panjang... insya-Allah beliau akan memberi ruang dan peluang kepada calon wanita," jelas beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan