
Hishammuddin
*****
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perpecahan dalam kalangan pakatan pembangkang itu jelas apabila mereka tidak menemui jalan penyelesaian sehingga hari penamaan calon semalam.
"Saya yakin dengan apa yang telah berlaku semalam iaitu pertembungan sesama sendiri antara PKR dan Pas, ia membuktikan tentang kerakusan, sifat tamak dan keegoan pembangkang.
"Perpecahan dalam kalangan pakatan pembangkang bukan setakat itu, sebaliknya turut berlaku dalam DAP apabila ramai bekas wakil rakyatnya bertanding atas tiket Bebas selepas kecewa dengan pucuk pimpinan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Wakil Pusat Daerah Mengundi (PDM) Cawangan Taman Puteri di Kampung Pekan Gajah di sini hari ini yang turut dihadiri calon BN bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh, Teoh Yap Kun dan DUN Kahang, R. Vidyanathan.
Proses penamaan calon semalam menyaksikan perebutan dalam kalangan pakatan pembangkang terutama Pas dan PKR apabila masing-masing berentap sesama sendiri di kerusi Parlimen Labuan dan enam kerusi DUN, antaranya di Pulau Pinang, Terengganu dan Johor.
Hishammuddin turut mengingatkan Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan anaknya yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng supaya menghentikan 'drama' mengaitkan Barisan Nasional (BN) dengan masalah pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu tidak mendapat pengiktirafan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
"Saya ingin ingatkan dua beranak itu supaya hentikan drama dan menjadikan BN sebagai punca kepada masalah yang mereka hadapi. Masalah itu berpunca daripada mereka sendiri.
"Saya juga mencabar DAP supaya memecat ahlinya yang bertanding atas tiket Bebas jika benar mereka mempunyai prinsip," katanya.
Menurutnya, walaupun BN juga mempunyai ahli yang bertanding sebagai calon Bebas, tetapi Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak telah membuat keputusan memecat keahlian mereka serta-merta.
"Saya cabar DAP supaya buat perkara yang sama kerana kononnya mereka juga sebuah parti yang berprinsip. Buktikan prinsip itu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan