
I. Pasunagi merenung tapak kampungnya
semasa berkumpul dengan penduduk mengingati peristiwa lima tahun lalu
dihalau kerajaan DAP Pulau Pinang dari Kampung Buah Pala, Pulau Pinang,
semalam.
*****
Pengerusi Pertubuhan Penduduk Kampung Buah Pala, M. Sugumaran berkata, kejadian pada 2008 iaitu 19 hari selepas Lim Guan Eng menjadi Ketua Menteri tidak mungkin dapat dilupakan olehnya.
"Jangan biar diri anda ditipu lagi dengan janji-janji manis mereka seperti mana yang dialami oleh kami.
"Saya masih ingat lagi, di sinilah pemimpin pembangkang seperti Karpal Singh dan Datuk Seri Anwar Ibrahim datang dan berjanji kepada kami bahawa mereka akan mengekalkan hak milik tanah namun perkara sebaliknya terjadi," katanya pada sidang akhbar di tapak bekas rumah mereka di sini baru-baru ini.
Sempena mengingati lima tahun pengusiran itu, hampir 10 keluarga yang pernah mendiami kampung berkenaan berkumpul di situ.
Suasana sayu dirasai penduduk apabila tapak rumah yang diduduki oleh keluarga mereka secara turun temurun kini bertukar menjadi kondominium mewah yang berharga jutaan ringgit.
Mengulas lanjut, Sugumaran berkata, sehingga hari ini tiada pampasan yang diberikan kerajaan DAP Pulau Pinang kepada mereka.
Menurutnya, dalam keadaan tersepit itu, Barisan Nasional (BN) yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tampil membantu dan memberi kediaman kepada mereka di Teluk Air Tawar, Butterworth.
Sementara itu, seorang penduduk, I. Pasunagi, 65, memberitahu, dia berasa berat hati untuk kembali ke situ namun menguatkan semangatnya apabila mengenangkan saat dizalimi dahulu.
"Kalau boleh sampai mati pun saya tidak mahu datang ke sini lagi kerana ia meninggalkan memori yang cukup pahit kerana kami dilayan sebegitu," ujarnya.
Dravian Pillay, 89, pula menjelaskan, Karpal Singh selaku Ahli Parlimen kawasan berkenaan patut berasa malu kerana gagal berbuat apa-apa untuk membantu mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan