29 April 2013

Tolak penghalang kemajuan

Najib Tun Razak mengangkat tangan bersama calon BN Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar (kiri), calon BN Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim (dua dari kiri) dan calon BN DUN Ijok, KR Parthiban (kanan) dalam majlis sarapan pagi bersama Perdana Menteri dan perasmian bangunan tambahan baru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Bestari Jaya di Kuala Selangor, semalam. - utusan/Saharuddin Abdullah 
*****
KUALA SELANGOR 28 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat Selangor menolak pakatan pembangkang yang selama ini menjadi penghalang kepada banyak projek pembangunan di negeri itu.
Mengambil contoh projek pemulihan rumah pangsa yang dilaksanakan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Bandar Alam Perdana di sini, Najib berkata, projek itu tertunda selama satu setengah tahun kerana kerenah birokrasi kerajaan negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor.
"Sebanyak 2,500 keluarga yang terlibat dalam projek ini kecewa dan hampa kerana terpaksa tunggu lebih lama disebabkan kerajaan negeri Selangor tidak mahu beri 'development order' untuk pembentungan dan sebagainya.
"Ini menyusahkan, sudahlah tidak keluarkan peruntukan, kalau tidak keluarkan tak mengapa, jangan jadi penghalang, jangan menyusahkan orang," katanya.
Beliau berucap dalam majlis penyerahan kunci kepada sebanyak 2,500 pemilik Rumah Pangsa Bandar Alam Perdana di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi SPNB, Datuk Idris Haron, Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan Timbalan Pengarah Pilihan Raya BN negeri, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed.
Menurut Najib, kerajaan BN mengeluarkan peruntukan sebanyak RM160 juta menerusi SPNB bagi memulihkan projek perumahan itu yang terbengkalai sejak 2002.
Katanya, meskipun menghadapi pelbagai kerenah birokrasi, projek berkenaan akhirnya berjaya memperoleh Sijil Layak Menduduki pada Disember tahun lalu.
Menurut beliau, penyelesaian masalah itu merupakan komitmen yang diberikan BN dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok pada 2007.
"Walaupun BN tidak memimpin kerajaan negeri, bila ada masalah dan ada cara menyelesaikannya, kita akan bantu," katanya.
Jelas Najib, rakyat perlu memilih kerajaan BN yang menepati janji dan bukannya pakatan pembangkang yang berbohong di Selangor mengenai janji elaun ibu tunggal, elaun tadika dan bekalan air percuma sepenuhnya.

Tiada ulasan: