14 Mei 2013

Adakah Melayu sudah mati?

Mohd. Noor Abdullah membentangkan hujah beliau dalam Wacana Post Mortem PRU-13: Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah, semalam. 
*****
KUALA LUMPUR 12 Mei - Adakah ungkapan 'Malai Si' atau 'Melayu Mati' yang menjadi kempen parti DAP semasa tragedi 13 Mei 1969 kini sudah menjadi realiti?
Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Zulkifli Noordin yang mengutarakan persoalan tersebut berkata, perkara itu perlu dijawab kerana Pas berulang kali menolak konsep perpaduan bersama UMNO bagi mempertahankan hak bangsa Melayu dan Islam.
"Kalau ada yang sanggup ludah kepada cadangan perpaduan UMNO-Pas, adakah ungkapan Melayu mati pada tahun 1969 itu sudah terbukti kerana ada Melayu sanggup bersekongkol dengan parti rasis, ekstremis, cauvinis yang dibawa Lim Kit Siang.
"Di Shah Alam, saya dituduh hina agama Hindu, orang India bersatu tolak saya, tetapi orang yang hina agama Islam, jual kalimah Allah, orang Melayu tidak tolak, adakah Melayu sudah mati?" katanya kepada pemberita.
Beliau ditemui ketika menghadiri program Wacana Post Mortem Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13): Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah di sebuah hotel di sini hari ini.
Menurut Zulkifli, sekiranya setiap Ahli Parlimen berketurunan Melayu memilih untuk bersatu tanpa mengira parti, majoriti mudah iaitu 124 kerusi dapat diperoleh bagi membentuk kerajaan.
"Orang Melayu kena tanya diri sendiri, kita mempunyai satu tuhan, satu nabi, satu kiblat, satu kitab dan satu akidah tetapi kenapa kita tidak boleh jadi satu umat, orang Melayu kena jawab sebelum nasi menjadi bubur," katanya.
Sementara itu, Zulkifli meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah memfitnah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan menghina rakyat Malaysia.
"Tindak-tanduk Anwar jelas mengkhianati rakyat Malaysia, saya menggesa pihak berkuasa untuk segera ambil tindakan, Anwar tidak boleh fikir dia lebih tinggi daripada undang-undang, dia tidak boleh terlepas," katanya.
Dalam pada itu, Zulkifli juga menggesa kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat insiden pencerobohan kumpulan pengganas Kiram di Lahad Datu, Sabah.
"Suruhanjaya ini amat penting kerana ia melibatkan soal kedaulatan negara, dengan nyawa anggota pasukan keselamatan telah terkorban, semua rakyat Malaysia masih tertanya-tanya kenapa pencerobohan itu berlaku," katanya.

Tiada ulasan: